PENDANG - Sekumpulan remaja yang menjadikan jalan batas ban (jalan bendang) di Kampung Kuala Rimau, dekat sini untuk berkumpul dan berlumba motosikal terpaksa membatalkan hajat mereka selepas diserbu polis dalam Operasi Khas Samseng Jalanan petang semalam.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, 100 orang remaja yang menunggang dan membonceng 70 motosikal diperiksa sebelum 46 saman dengan pelbagai kesalahan trafik dikeluarkan.

Katanya, antara kesalahan yang diambil tindakan ialah tidak memiliki lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, mengubah suai motosikal, tiada cermin pandang belakang dan nombor plat tidak mengikut spesifikasi.

“Operasi yang bermula pukul 6 hingga 8 malam itu menyebabkan ada antara mereka cuba melarikan diri namun terbabas ke dalam tali air berhampiran sebelum ditahan untuk pemeriksaan,” katanya  menerusi  kenyataan  di sini, hari ini.

Beliau berkata, operasi dilakukan berdasarkan aduan orang ramai berhubung sekumpulan remaja seawal usia 14 tahun hingga 23 tahun menunggang secara melulu pada cuti hujung minggu hingga mengundang bahaya kepada pengguna jalan yang lain.

Arriz Sham berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 26 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana tiada lesen memandu,  Seksyen 15 (1) akta sama kerana tiada cukai jalan, Seksyen 39 (1) (menunggang bawah umur) serta Seksyen 14 (1) akta sama kerana tiada nombor pendaftaran. -Bernama