ALOR SETAR - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Kuala Kedah menahan sebuah bot nelayan kelas C atas kesalahan melanggar syarat lesen, pagi tadi.

Ketua Zon Maritim Kuala Kedah, Leftenan Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata, bot itu ditahan pada jarak kira-kira 5 batu nautika barat daya Kuala Kedah jam 11.25 pagi.

Katanya, pemeriksaan awal mendapati seramai tiga nelayan Thailand berusia antara 20 hingga 44 tahun berada di atas bot tersebut.

“Berdasarkan pemeriksaan lanjut, bot itu disyaki melakukan kesalahan melanggar syarat lesen kerana permit kerja tamat tempoh di bawah Seksyen 8(b) Akta perikanan 1985.

“Susulan itu, bot terbabit yang membawa kira-kira 200 kilogram ikan ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, Maritim Malaysia berharap orang ramai memberi kerjasama dengan melaporkan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang Maritim yang berlaku di perairan negara ini.

Sebarang aduan dan kecemasan di laut di talian 24 jam MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.