GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang hari ini mengumumkan tambahan pembayaran wang ihsan RM200 kepada setiap mangsa banjir di negeri ini.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata tambahan itu menjadikan bayaran wang ihsan secara 'one-off' kepada mangsa banjir di negeri ini, keseluruhannya berjumlah RM700 bagi setiap penerima.

"Saya ingin mengumumkan pagi ini bahawa derma yang dikutip akan diagih sepenuhnya kepada mangsa banjir dengan tambahan RM200 setiap mangsa. Ini akan memperuntukkan tambahan RM20 juta kepada mangsa banjir.

"Sekiranya kutipan derma tidak mencukupi RM20 juta, maka ia akan ditambah atau 'top-up' oleh kerajaan negeri," katanya ketika menggulung Rang Undang-undang Perbekalan 2018 pada persidangan Dewan Undangan Negeri, di sini.

Guan Eng ketika mengumumkan program Pulau Pinang Bangkit pada Khamis lepas, mengumumkan pemberian secara 'one-off' RM500 kepada mangsa banjir di negeri ini, selain pengecualian bayaran surcaj konservasi untuk pengguna domestik bagi tempoh bayaran satu pusingan (dua bulan), serta diskaun air 50 peratus kepada pengguna domestik dan 25 peratus untuk pengguna komersial.

Beliau berkata kerajaan negeri akan membelanjakan RM50 juta untuk membayar wang ihsan RM500 secara sekali gus itu kepada kira-kira 100,000 penerima dan setiap isi keluarga atau perniagaan hanya boleh memohon sekali untuk kerugian hartanah mereka.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Mustahil orang percaya Guan Eng isu bantuan banjir]

Dalam pada itu, beliau turut berharap kerajaan persekutuan dapat memberikan bantuan kewangan sekurang-kurangnya RM500 kepada setiap mangsa banjir di negeri ini.

Beliau berkata sehingga kini, pihaknya masih menunggu berita baik daripada kerajaan persekutuan berhubung bantuan kewangan untuk mangsa banjir itu.

"Bayaran 'one-off' RM500 dan tambahan RM200 menjadi antara bayaran wang ihsan paling besar oleh mana-mana kerajaan negeri kepada mangsa banjir. Sebelum ini kerajaan pusat bayar RM500 untuk mangsa banjir di Kelantan pada 2014.

"Kita juga harap kerajaan pusat boleh bayar, sekurang-kurangnya tolonglah buat pengumuman. Kita mengharapkan (kerajaan persekutuan) berikan bantuan kewangan," katanya.

Hujan lebat yang bermula pada 2 petang Sabtu lalu dan berterusan sehingga pagi Ahad menyebabkan Pulau Pinang lumpuh akibat dilanda banjir yang turut mengorbankan tujuh nyawa. – Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang masih berharap suatu pengumuman gembira dapat dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membantu mangsa-mangsa banjir di negeri ini.
  • GEORGETOWN - Penang Front Party (PFP) mendesak Ketua Menteri, Lim Guan Eng membuat permohonan maaf kepada seluruh rakyat di negeri ini termasuk kepada mangsa-mangsa yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh dan banjir kilat, baru-baru ini.
  • GEORGETOWN - Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng hari ini dituntut supaya segera memohon maaf kepada keluarga 11 mangsa yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh di tapak pembinaan di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah pada 21 Oktober lepas.
  • GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang menegaskan tidak akan meluluskan sebarang rancangan pembinaan di tanah tiga buah sekolah tertua yang diarahkan tutup.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.