ALOR SETAR - Seorang pelajar jurusan Diploma Kejururawatan Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) Kota Bahru membuktikan kejayaan apabila bergelar ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat pada usia muda, sekali gus melayakkan dia menerima Anugerah Keusahawanan Terbaik.

Anak kedua dari empat beradik, Mohamad Shahrul Nizam Alias, 21, berkata, dia mula berniaga makanan untuk membiayai kos pembedahan penyakit jantung berlubang yang dihidapinya.

“Saya hanya menyedari dan mengetahui mengidap penyakit jantung berlubang ketika ingin melanjutkan pelajaran di KPTM Kota Bahru tiga tahun lepas pada 7 Julai 2014.

“Dengan bermodal RM500, saya mula menceburkan diri dalam bidang perniagaan makanan ala timur sekitar kampus dan Kota Bahru demi mengumpul wang,” katanya.

Shahrul dinobatkan sebagai penerima Anugerah Keusahawanan Terbaik dengan membawa pulang wang tunai RM500, piala iringan, piala pusingan dan sijil penyertaan dalam Majlis Penganugerahan Hal Ehwal Pelajar (HEP) 2016/2017, di TH Hotel, di sini, semalam.

Noralwanis

Katanya, dia bersyukur kerana berkat usahanya berniaga dan bantuan beberapa pihak, khususnya KPTM Kota Bahru membolehkan dia menjalani pembedahan dengan kos RM11,000 pada 3 Oktober 2016.

Menurutnya yang berasal dari Marang, dia jatuh cinta dalam perniagaan makanan kerana memiliki keluarga berlatar belakang berniaga di pasar malam.

Kata pelajar semester enam itu, dia tidak penat, walaupun sibuk dengan pelajaran seharian dan perlu menguruskan perniagaan makanan diusahakan dengan keadaan kesihatan yang kurang baik.

Shahrul berkata, dengan sokongan ahli keluarga, KPTM Kota Bahru dan rakan, dia berasakan perkara sedemikian adalah biasa, asalkan dapat menguruskan masa dengan baik .

“Alhamdulillah, kini saya mampu menjana pendapatan bersih sekitar RM1,000 sebulan dengan berniaga dari jam 7 hingga 10 malam setiap hari di kiosk dataran asrama,” katanya.

Manakala, penerima Anugerah Permata Terbilang, Wan Noralwanis Wan Zakaria, 21, berkata, dia juga membahagikan masa dengan baik antara pelajaran dan sukan.

“Setiap pagi, saya ke kelas seperti biasa. Manakala, melakukan latihan petanque pada waktu petang,” kata pelajar semester akhir Diploma Perakaunan KPTM Kota Bahru.

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUANTAN - Seorang bapa tunggal dari Kampung Paya Berenjut, Kemaman, memohon bantuan orang ramai bagi menampung kos pembedahan anaknya berusia 12 tahun yang mempunyai masalah jantung berlubang congenital asianotik.
  • KOTA BHARU - Keadaan Muhammad Faiz Hafizuddin Mohamad Izahir, 17, salah seorang pelajar tahfiz yang kritikal akibat kemalangan baru-baru ini di Kuala Krai dilaporkan semakin stabil.
  • JOHOR BAHRU - Sebuah syarikat kecantikan dan dua pengarahnya termasuk seorang doktor didenda RM95,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini selepas mengaku bersalah menyediakan pusat jagaan ambulatori yang menawarkan pembedahan estetik tanpa lesen, dua tahun lalu.
  • RANTAU PANJANG - Kelab Kebajikan dan Sukarelawan Sosial (Kelss) akan buat laporan polis berhubung penyebaran nombor akaun bank palsu oleh seorang individu.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.