ALOR SETAR - Seorang nenek berusia 67 tahun merayu sumbangan orang ramai bagi membantu menyara kehidupan beliau serta dua cucunya yang kematian bapa akibat kanser pangkal hidung Ogos lalu.

Che Pah Ramli berkata, sejak kematian anaknya, Mohd Nasir Omar, 39, dua cucunya, Muhammad Nasri, 10 dan Muhammad Nasrul, 6, tinggal bersamanya di Kampung Alor Ganu, di sini.

“Selepas bapa mereka meninggal, ibu mereka seorang warga Thailand menghilangkan diri.

"Kini saya menyara sekolah dan makan minum cucu dengan pendapatan jual kuih lebih kurang RM30 sehari.

“Dengan pendapatan itu juga saya menyara seorang anak lelaki (Mohd Zahir Omar, 41) yang sakit jantung,” katanya.

Che Pah berkata, beliau sangat berharap pihak Lembaga Zakat Negeri Kedah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat datang menjenguk mereka dan membantu meringankan beban yang ditanggung.

Kesulitan Che Pah itu bagaimanapun mendapat perhatian Pengasas Cancer Survivor Malaysia, Zuraini Kamal yang melawat dan menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian serta wang tunai kepada keluarga itu.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Mohd Zahir di talian 0175508352 atau sumbangan boleh disalurkan terus menerusi akaun CIMB beliau 7620280369. - Bernama