PENAGA - Peristiwa rakan terpelanting akibat terkena jerangkap samar hampir 37 tahun lalu antara pengalaman tidak dapat dilupakan sepanjang berkhidmat sebagai anggota tentera.

Mohamed Noor Abdullah berkata, ketika itu kira-kira 18 anggota termasuk dirinya menjalankan operasi rondaan memburu pengganas komunis sekitar kawasan Gubir, Kedah pada 1979.

"Masa kejadian itu saya ada kat depan rakan yang jadi mangsa jerangkap samar ini, Saad ada kat belakang saya.

“Dalam beberapa minit kami sampai dekat satu kawasan tebing sungai, tiba-tiba saya dengar letupan kuat. Saya toleh ke belakang Saad dah terpelanting jauh dari kami,” katanya.

Menurutnya, kejadian berlaku begitu pantas dan mereka hanya mampu tunduk untuk bersiap sedia andai pengganas komunis datang menyerang.

"Kami tengok saja Saad mengerang kesakitan, kami tak boleh terus dapatkan dia selalunya pengganas komunis akan ambil kesempatan itu untuk menyerang anggota tentera.

“Jadi saya dan beberapa rakan lain berkawal seketika untuk pastikan benar-benar tiada ancaman daripada pengganas komunis sebelum dapatkan Saad,” katanya.

Mohamed Noor berkata, Saad mengalami kecederaan parah di bahagian tapak kaki.

“Masa itu ALLAH sahaja yang tahu perasaan saya, kebencian saya terhadap pengganas komunis meluap-luap, kalau dok ada pengganas masa itu memang saya tembak saja.

“Saya bagi kata-kata semangat dekat Saad agar dia bertahan sebelum bawa ke kawasan selamat," katanya.

Biarpun dalam keadaan marah mengenangkan rakan baiknya itu cedera parah, namun hati Mohamed Noor terdetik syukur kerana peristiwa hitam itu tidak terjadi kepada dirinya.

“Sedangkan kalau nak diikutkan laluan itu saya baru sahaja melaluinya sebab saya di hadapan Saad tapi nyawa saya masih panjang.

“Akibat kejadian itu, Saad terpaksa dikejarkan ke hospital di Kedah sebelum diterbangkan ke Hospital Pulau Pinang untuk dapatkan rawatan lanjut, alhamdulillah dia selamat dalam kejadian itu,” katanya.

Katanya, antara kenangan lain yang tidak dapat dilupakannya adalah siri latihan berjalan kaki yang bermula di Sungai Siput Perak dan berakhir di Gua Musang, Kelantan.

“Kami berjaya tamatkan perjalanan itu dengan memakan masa selama 12 hari, habis hutan belantara kami redah.

“Pada saya itu antara pengalaman manis yang takkan dilupakan, biarpun penatnya hanya Tuhan yang tahu, tapi ia jadi memori terindah sampai bila-bila," katanya.

Kini, anak sulung daripada tiga beradik itu tinggal bersama keluarganya di Kampung Padang Tembusu dan membuka perniagaan menjual peralatan untuk membina rumah secara kecil-kecilan.

Tambahnya, kemerdekaan yang dinikmati hari ini perlu dijaga semua pihak.

“Kadangkala bila tiba sambutan merdeka, hati saya jadi sedih dengan sikap segelintir anak muda.

“Mereka seolah-olah tak faham erti kemerdekaan sebenar, ia merupakan hasil jerih bercampur darah orang terdahulu, jadi seharusnya sama-sama menghargai dan menyambutnya bukan dengan perkara negatif namun dengan jiwa yang murni,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MERSING - Pihak bertanggungjawab perlu memberi perhatian dalam menilai kelengkapan Gerup Gerak Khas (GGK) bagi memastikan anggota komando menerima peralatan berkualiti tinggi dan mengikut spesifikasi.
  • KEMAMAN - Rakyat diminta usah meragui kemampuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana sudah terbukti tentera mampu mempertahankan tanah air sehingga sekarang.
  • KUALA LUMPUR - Tentera Darat akan mengadakan pemilihan awal perajurit muda lelaki bagi siri 185/2017 di seluruh negara.
  • BANDARAYA MELAKA - Seorang anggota tentera dipercayai mengalami patah kaki kanan selepas dikatakan mendarat di atas bumbung rumah di kawasan Kem Terendak Sungai Udang, di sini, kelmarin .
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.