BALING - Pemandu teksi di sini hanya mampu mendapat hasil pendapatan tiga kali seminggu selepas berdepan kekurangan pelanggan sejak beberapa tahun lalu.

Ketua Stesen Teksi Baling, Abu Hassan Ismail berkata, pemandu kini terpaksa bergantung hasil kepada khidmat membawa penumpang ke pasar malam dan pasar tani sahaja.

"Hanya Sabtu, Ahad dan Rabu yang ramai pun. Hari lain nak dapat RM30 pun susah.

"Macam hari ini, ada pemandu yang tiada trip langsung," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, kekurangan pelancong datang ke sini antara penyebab hasil teksi berkurangan.

Selain itu katanya, golongan muda semakin ramai mempunyai kenderaan sendiri.

"Jadi kita harap kerajaan dapat bangunkan Baling sebagai kawasan pelancongan untuk tarik lebih ramai ke sini.

"Antara tempat boleh dimajukan ialah terowong komunis. Tempat tu pun pi tak boleh masuk. Tak ramai pi ke sana," katanya.

Tambahnya, ketika pembinaan Maktab Rendah Sains Mara, Ibu Pejabat Polis Daerah Baling dan pembinaan bangunan kerajaan sekitar Kroh Perak, pendapatan teksi bertambah.

"Sekitar 2010 hingga 2015 pendapatan kami masih ok sebab khidmat teksi digunakan oleh pekerja buruh binaan," katanya.

Terdahulu, Ahli Majlis Baling, Mohd Rosli Abu Bakar menyerahkan sumbangan papan tanda pengangkutan kepada Persatuan Pengangkutan Gemilang Maju Sdn Bhd.

Sementara itu, Rosli berkata, Baling boleh dimajukan sebagai industri pelancongan bersejarah sekali gus menjana ekonomi penduduk.

"Di Baling kita ada banyak tempat-tempat sejarah, antaranya terowong komunis, perkampungan Memali, Bilik Rundingan Damai Baling 1955 dan lain-lain.

"Tetapi semua perlu dipromosi secara meluas. Pihak Majlis Daerah Baling (MDB) akan buat promosi secara terancang untuk tarik pelancong ke sini," katanya.

Tambahnya, Pusat Khidmat Ahli Majlis daerah Baling akan dibuka di pejabat MDB dalam masa terdekat.