JURU - Surau Taman Pelangi di sini perlu dinaik taraf sebagai masjid bagi memenuhi keperluan masyarakat Islam di sekitar kawasan ini selain berada dalam keadaan yang agak daif pada ketika ini.

Pengerusinya, Fazil Abdul Karim berkata, surau yang mula dibuka sejak tahun 1996 itu kini tidak mampu lagi menampung limpahan jemaah setiap hari khususnya pada hari Jumaat dan bulan Ramadan.

Menurutnya, pada masa kini surau berkenaan hanya boleh menampung sehingga 3,000 jemaah untuk solat Jumaat namun kehadiran melebihi daripada jumlah itu.

“Disebabkan surau ini berhampiran dengan Kawasan Perindustrian Perai ia menjadi tumpuan pekerja di sini untuk menunaikan solat. Masjid dan surau lain jauh sehingga enam kilometer daripada kawasan ini.

“Tambahan pula di Taman Pelangi ini menempatkan asrama pekerja asing, jumlah jemaah yang hadir semakin bertambah dan dengan keadaan surau yang sempit sudah tidak mampu untuk menampung kehadiran jemaah pada masa kini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Selain sempit, Fazil berkata, keadaan bumbung yang mula mereput dan bocor mengundang keadaan tidak selesa sekiranya  hujan.

Katanya, kemudahan asas lain seperti tandas dan tempat mengambil wuduk juga tidak mencukupi dan perlu dinaik taraf untuk keselesaan jemaah.

“Surau ini telah berusia lebih 20 tahun dan banyak yang perlu ditukar dan diperbaiki contohnya sistem pendawaian di sini.

“Sebelum ini beberapa kali berlaku bekalan elektrik terputus sehingga menyebabkan khutbah dan solat terganggu,” katanya.

Fazil berkata, Sebelum ini pihaknya tidak pernah menerima sebarang bantuan mahupun peruntukan daripada kerajaan untuk mengurus tadbir surau berkenaan dan mereka hanya menggunakan wang kutipan daripada jemaah untuk kelangsungan surau berkenaan.

Keadaan surau yang sempit tidak mampu untuk menampung kehadiran jemaah yang semakin ramai.

Katanya, surau berkenaan perlu dinaik taraf berikutan jumlah masyarakat Islam di sini semakin bertambah selain ia menjadi lokasi tumpuan untuk mengadakan pelbagai majlis ilmu.

Lancar kempen #RM10seorang

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Surau Taman Pelangi, Mohd Rozee Abdul Razak berkata, pihaknya pernah memohon kepada Majlis Agama Islam Pulau Pinang untuk melakukan penaiktarafan surau berkenaan dengan menggunakan tanah lapang yang berada di sebelah surau terbabit.

Bagaimanapun, menurutnya pihak surau disyaratkan supaya mempunyai simpanan kewangan minimum RM1 juta sebagai komitmen sebelum sebarang pengambilan tanah dilakukan untuk menaik taraf surau berkenaan kepada masjid.

“Kami amat mengharapkan kerajaan negeri dan pusat mengambil perhatian terhadap masalah kami dan sekiranya pembesaran atau penaiktarafan dapat dilakukan ia akan menyemarakkan lagi syiar Islam di kawasan ini.

“Berbanding dengan kawasan lain, surau ini terdapat banyak kekurangan dan kami amat berharap kerajaan akan membantu untuk membangunkan surau ini dengan membina bilik mesyuarat, dewan seminar, kelas agama dan fardu ain (Kafa) serta gerai jualan untuk masyarakat Islam di sini,”katanya.

Bagi memenuhi syarat iaitu mempunyai simpanan kewangan minimun RM1 juta, jawatankuasa kariah surau berkenaan telah melancarkan kempen #RM10seorang bagi mengumpul dana berkenaan.

Kumpul RM68,000

Bendahari surau, Hafiz Ridzuan Abdullah berkata, buat masa ini pihaknya menggerakkan kempen berkenaan melalui laman sosial seperti Facebook dan WhatsApp.

Menurutnya, selepas dilancarkan tiga bulan lalu, pihaknya berjaya mengumpul kutipan hingga RM68,000.

“Kita juga sedang mendapatkan kebenaran daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) untuk mengutip derma secara terus dapat dilakukan dan berharap permohonan itu akan diluluskan.

“Pihak kami juga merayu dan memohon keprihatinan orang ramai bagi menjayakan misi ini ,” katanya.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Dana Pembinaan Masjid Qaryah Taman Pelangi, 2-07145-6001080-2 (RHB Islamik Bank) atau boleh terus menghubungi talian 016-4680899.