• Lebah
1 /

CHANGLUN- “Saya akur dengan saranan mufti supaya halau lebah yang mula bersarang di pokok mangga depan rumah kerana bimbang ia boleh memudaratkan dan mengancam keselamatan,” kata pesara tentera di Taman Seri Hosba di sini, semalam.

 
Begitulah jelas Mustapa Musa, 51, selepas merujuk kepada Mufti Kedah, Datuk Syeikh Muhamad Baderudin Ahmad mengenai penemuan sarang lebah di pokok mangga miliknya yang hanya disedari selepas dimaklumkan jirannya, pagi kelmarin.
 
Mustapa, yang agak terkejut dengan kehadiran ribuan lebah itu berkata, kali terakhir dia membersihkan daun-daun kering di bawah pohon itu pada petang Isnin lalu, tetapi sarang haiwan terbabit masih tidak ada.
 
“Justeru, selepas dimaklumkan jiran saya segera melihatnya dan bersyukur didatangi haiwan terbabit tetapi tetap bimbang jika ia boleh mengancam keselamatan keluarga dan jiran.
 
“Saya menghubungi mufti untuk mendapatkan nasihat dan saranan menghalau lebah terbabit akan diikuti memandangkan ia boleh memudaratkan jika dibiarkan,” katanya.
 
Sarang lebah itu mempunyai lebar kira-kira 0.3 meter dan panjang kira-kira 0.6 meter.
 
Mustapa berkata, sejak empat tahun tinggal di situ, ini kejadian kali pertama berlaku di pokok mangga yang berusia hampir tiga tahun itu.
 
“Saya juga berhasrat untuk mengadakan kenduri doa selamat selepas ini berikutan kejadian terbabit,” katanya.
 
Sementara itu, Muhamad Baderudin ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan beliau memberi nasihat kepada Mustapa supaya menghalau haiwan terbabit kerana ia boleh membawa kemudaratan.
 
“Kita boleh menghalau setiap benda yang boleh memudaratkan dan seperti kes ini, jika lebah itu boleh membahayakan keluarga terbabit ia wajar dihalau atau dibuang.
 
“Bagaimanapun, berkenaan kenduri doa selamat ia boleh dilakukan jika bertujuan untuk memohon dipelihara keselamatan daripada sebarang gangguan haiwan terbabit,” katanya.