KULIM - Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) masih menunggu wang peruntukan berjumlah RM2 juta yang diumumkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk naik taraf saliran di kawasan Taman Selasih.

Pengarah Jabatan Kejuruteraan MPKK, Muhamad Tarmymy Che Ani berkata, sehingga sekarang pihaknya masih menunggu peruntukan yang diumumkan tersebut bagi melaksanakan projek naik taraf sistem saliran di situ.

Menurutnya, projek itu akan dilaksanakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi menyelesaikan isu banjir kilat di kawasan terbabit.

“Ramai orang keliru dan sering bertanya, tentang duit peruntukan RM2 juta yang diumumkan bekas timbalan perdana menteri itu untuk naik taraf sistem perparitan di situ.

“Sebenarnya kita juga masih menunggu peruntukan untuk kerja naik taraf. Setakat ini kami belum terima apa-apa peruntukan itu.

“Sistem perparitan di situ memang wajar dinaik taraf bagi mengelakkan banjir kilat terus berlaku dan merosakkan harta benda penduduk di kawasan terbabit,” katanya.

Bagaimanapun, katanya projek pemulihan tanah jerlus di kawasan Taman Selasih akibat banjir kilat pada November lalu telah pun selesai.

“Projek pemulihan tanah di kawasan itu menggunakan peruntukan MPKK sendiri iaitu berjumlah RM500,000, Kita juga sedang menjalankan pemantauan terhadap projek itu, dan kita akui akan berlaku pemendapan jika berlaku hujan, ini yang kita akan pantau namun tak bagi kesan kepada rumah penduduk berdekatan,” katanya.