BALING - Penduduk memohon beberapa pokok tua di tepi jalan raya kawasan Kampung Lanai segera ditebang bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

Ketua Platun Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) Kampung Lanai, Zulkifli Othman berkata, dua pokok setul, dua pokok mangga serta sebatang pokok kabu dan pokok belalang mamak didapati mudah tumbang dan dikhuatiri boleh membahayakan nyawa pengguna.

“Sebelum ini sudah ada dahan-dahan pokok jatuh sampaikan penunggang motosikal berhenti mengejut hingga terjatuh.

“Sebelum berlaku kematian, kita minta pihak berwajib segera tebang pokok-pokok ini,” katanya ketika ditemui di sini.

Zulkifli berkata, surat berkaitan telah diserahkan kepada pejabat penghulu pada 28 Oktober lalu, namun hingga kini tiada tindakan.

“Jawapan kami terima, peruntukan tak ada sebab hujung tahun. Jadi sekarang dah awal tahun kami harap ada peruntukan dan pokok dapat ditebang,” katanya.

Penduduk, Yahya Abdullah, 60, berkata, nyawa pengguna terutamanya kaum ibu dan pelajar sekolah terancam selagi pokok-pokok itu tidak ditebang.

“Keselamatan pengguna terutama golongan ibu yang ulang-alik hantar anak pi sekolah dan pelajar dalam bahaya.

“Kalau tak boleh tebang pokok, tebang dahan pun jadilah,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Lanai, Ahmad Omar berkata, beliau bersetuju pokok itu ditebang seperti saranan penduduk.

“Benda ni saya dah bawa ke Pejabat Daerah Baling, tetapi dimaklumkan perkara ini di bawah bidang kuasa Jabatan Kerja Raya (JKR). Saya harap masalah ini selesai secepat mungkin,” katanya.