ALOR SETAR - Petani di Kampung Berala, Mukim Tobiar, Pendang memohon Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) membersih dan mendalamkan Sungai Pendang yang menjadi punca banjir di kawasan berkenaan.

Petani mendakwa, kegagalan Mada membersih sungai itu yang dipenuhi dengan semak menyebabkan aliran sungai itu terjejas.

Jamaludin Mahmud, 61, berkata, petani di situ merayu kepada Mada supaya dapat membersihkan Sungai Pendang itu yang sudah lama tidak diselenggarakan.

Tahun lalu katanya, sebanyak empat kali petani di kawasan itu mengalami kerugian kerana sawah mereka dipenuhi air hingga tanaman mereka rosak.

“Setiap kali hujan lebat, petani di sini sudah pasti akan dihantui dengan masalah banjir kerana sawah akan dipenuhi dengan air. Sungai yang tak diselenggara itu menyebabkan air lambat keluar hingga melimpah masuk ke dalam sawah kami.

“Macam semalam (kelmarin), hujan lebih dua jam menyebabkan banyak sawah di sini ditenggelami air. Saya baru sahaja tabur benih dua minggu lalu, sah-sah la semua anak padi akan rosak,” katanya.

Zainal Hassan menunjuk sawahnya ditenggelami air selepas hujan lebat, kelmarin.

Menurut Jamaludin, selepas kejadian banjir tahun lalu, pihak berkenaan berjanji akan memberi pampasan kepada petani kerana hasil tanaman rosak, bagaimanapun sehingga hari ini, petani masih belum mendapat sebarang pampasan itu.

“Petani pernah buat aduan kepada Pejabat Mada D3, Titi Haji Idris di Kota Setar supaya sungai itu dapat dibersihkan. Tapi alasan yang diberi ialah tiada peruntukkan bagi membersih dan mendalam Sungai Pendang itu," katanya.

Rumah pam belum operasi

Zainal Hassan, 64, berkata, mereka sudah tidak tahu lagi di mana untuk mengadu masalah yang membelenggu petani sehingga hari ini.

“Punca utama petani di sini kerugian sebab saliran yang tidak dibersihkan. Difahamkan, sungai itu tidak diselenggara sejak 2007 hingga tumbuhan yang tumbuh di permukaan sudah mulai tebal. Malah pernah ada orang yang memancing ikan sudah boleh berjalan di atas tanaman itu.

"Ini menunjukkan tumbuhan yang tidak pernah dibersihkan itu sudah tebal dan ini menyebabkan air dari sawah sukar mengalir ke saliran utama. Jadi tidak hairanlah setiap kali banjir akan ambil masa dua minggu untuk surut,” katanya.

Lokman Yahya, 30, pula berkata, banjir musim lalu menyebabkan dia kerugian ribuan ringgit selepas padinya yang sudah masak rosak.

Katanya, walaupun pernah membuat aduan tetapi sungai yang dipenuhi dengan tumbuhan sepanjang 1.5 kilometer (km) itu masih tidak dibersihkan sehingga hari ini.

“Sudah pasti jika sungai itu tidak dibersihkan lagi petani di situ akan berhadapan dengan kerugian lagi jika Mada gagal melakukannya,” katanya.

Menurut Lokman, pembinaan rumah pam yang dibina sejak 2013 juga masih menjadi tanda tanya kerana belum beroperasi.

Rumah pam yang dibina masih lagi tidak beroperasi.

"Kami harap pembinaan rumah pam akan bantu air mengalir ke luar ke sungai utama itu.

“Tapi sehingga kini masih belum dapat digunakan lagi dan hanya sekadar jadi hiasan di kawasan sawah itu. Oleh itu kami berharap rumah pam itu dapat beroperasi secepat mungkin bagi mengatasi masalah banjir di sini,” katanya.