MERBOK – Misteri bau busuk yang dihidu penduduk Taman Lembah Merbok sejak beberapa hari lalu terjawab apabila mayat seorang lelaki ditemui tergantung dalam rumahnya kira-kira 12 tengah hari, tadi.

Jiran yang enggan namanya dikenali berkata, mereka terhidu bau busuk namun tidak menyangka ia berpunca dari rumah mangsa.

“Memang dah lama tak nampak dia keluar rumah, lagipun dia tinggal seorang diri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Saifi Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan kejadian.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati seorang lelaki berusia 35 tahun ditemui tergantung di kipas dalam sebuah bilik,” katanya.

Difahamkan, mangsa telah bercerai dan tinggal keseorangan dalam rumah terbabit.

Menurutnya, hasil pemeriksaan badan mendapati tiada unsur jenayah, bagaimanapun, si mati mempunyai rekod lampau bersabit kes Seksyen 3(1) Akta Pencegahan Dadah, tiga tahun lalu.

“Siasatan lanjut masih diteruskan untuk semakan rekod perubatan si mati dengan pihak keluarga dan bekas isteri," katanya.

Mayat dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani untuk bedah siasat.