PADANG SERAI - Lajnah Kebajikan Pas Padang Serai terus memperhebatkan misi menjejaki fakir bagi membantu golongan tersebut.

Ketua Lajnah Kebajikan Padang Serai, Jusri Mohd Nayan, berkata pihaknya menjejaki fakir-fakir miskin di seluruh kawasan ini dengan mendapatkan maklumat daripada wakil penduduk bagi memastikan golongan tersebut mendapat bantuan sewajarnya.

Menurutnya, program ini telah dijalankan selama 10 tahun dan melibatkan semua kaum tanpa mengira ideologi politik.

“Kita hebatkan lagi misi jejak fakir miskin ini di bulan Ramadan, seperti tahun-tahun sebelum ini, sudah banyak yang telah menerima bantuan daripada pihak kita.

“Kali ini kita sasarkan 100 penduduk yang memerlukan dalam kawasan ini dan akan diteruskan pada bulan-bulan berikutnya mengikut kemampuan.

“Dalam program ini setiap fakir akan menerima bantuan makanan keperluan asas seperti gula, beras dan minyak yang sedikit sebanyak dapat bantu mereka sepanjang bulan Ramadan ini,” katanya.

Melalui program itu juga pihaknya juga akan menjadi pemudah cara kepada golongan tersebut dalam mendapat bantuan yang telah disediakan kerajaan termasuk permohonan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan zakat.