BALING - Seekor ayam serama peliharaan bukan sahaja jinak tetapi pandai berswafoto.

Itu keunikan yang ada pada seekor ayam jantan dipelihara Feiyaz Maliki, 10, sejak beberapa bulan lalu.

Feiyaz berkata, haiwan itu dibeli datuknya, Fazil Mohd Mohd Ali, 68, di pasar malam pada Ramadan lalu dan diberi nama Melodi.

Menurutnya, Melodi ada keunikan yang mungkin tiada pada haiwan lain.

"Jika kita nak ambil gambar, Melodi akan tengok kamera. Ayam ini juga pandai 'selfie'," katanya ketika ditemui di Kampung Seberang Pekan, semalam.

Feiyaz berkata, Melodi juga haiwan biasa perlu dilatih untuk memahami arahan diberikan.

Menurutnya, masa diambil untuk melatih Melodi berswafoto ialah selama sebulan.

"Mula-mula memang tak reti. Sebelum ini bila nak selfie kepalanya akan pusing kiri dan kanan.

"Pada peringkat awal, saya arahkan Melodi tengok kamera sambil pegang kepalanya ke arah lensa.Tetapi bila kita ajar lama-lama haiwan ini sudah biasa berselfie," katanya.

Feiyaz berkata, setiap petang haiwan itu akan dibawa bersiar-siar menaiki basikal mengelilingi sekitar kampung.

"Saya kayuh, Melodi duduk dalam raga. Ayam ni langsung tak lari. Ikut saja ke mana kita bawa dia.

"Paling jauh saya bawa Melodi ialah ke sungai, lebih kurang satu kilometer dari rumah," katanya.

Sementara itu, kakaknya, Falisha,14, berkata, ayam itu dipelihara sepenuhnya oleh Feiyaz.

"Ayam ini dengan semua orang jinak, kita angkat pegang pun tak apa," katanya.