PERAI - Mayat seorang wanita yang dilaporkan terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang malam kelmarin ditemui sekumpulan nelayan di kawasan perairan Pulau Aman, di sini tadi.

Mayat Khor Shu Cheng, 22, ditemui dalam keadaan terapung kira-kira jam 11 pagi sebelum dibawa ke kawasan Jeti Nelayan Kampung Tok Kangar, Juru dan diserahkan kepada pasukan mencari dan menyelamat.

Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, mangsa dilaporkan terjatuh dari jambatan berkenaan kira-kira jam 7.40 malam semalam.

Menurutnya, sebaik menerima laporan kejadian itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba Perai dikejarkan ke tempat kejadian untuk melakukan operasi mencari dan menyelamat mangsa.

“Operasi mencari dan menyelamat turut melibatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim dan Polis Marin.

“Mayat wanita itu ditemukan dalam keadaan berpakaian lengkap dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita dikhuatiri lemas selepas dikatakan terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang.

Wanita terbabit dikatakan menghentikan kenderaannya di atas Jambatan Pulau­ ­Pinang sebelum dia dilihat terjatuh oleh beberapa pengguna jambatan terbabit.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai mati ­mengejut.