ALOR SETAR - Seorang penduduk maut dipercayai dipijak gajah liar berdekatan hutan simpan di Padang Sanai, dekat sini, hari ini.

Difahamkan, kejadian berlaku jam 4 petang, bagaimanapun lokasi sebenar masih belum dipastikan.

Tubuh lelaki yang belum diketahui etniknya ditemui oleh sanak saudaranya yang bergegas membawa mangsa ke Hospital Kuala Nerang (HKN), sebelum dia diumumkan meninggal dunia.

Ahli keluarga mangsa dipercayai telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap, dekat sini.

Berdasarkan aduan penduduk kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar,  gajah liar pernah dilihat sekitar hutan simpan Padang Sanai.

Tindakan manusia menceroboh ke dalam kawasan rizab hutan itu untuk ladang haram dikatakan mengakibatkan gajah berkeliaran di kawasan itu.

Sumber polis mengesahkan kejadian terbabit.