BALING - Timbalan Presiden Bersatu menyifatkan Presiden Pas tiada modal apabila masih mempersoal kesahihan kes mata lebam Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998.

Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, isu lama itu tidak wajar dibangkitkan semula.

Menurutnya, masalah di antara kedua-dua pemimpin terlibat, telah selesai.

"Ini cerita lama tak payah nak ungkit lah, maksudnya tiada modal lah tu nak cerita benda bukan-bukan tahun berapa dah tu...1998 macam tu, sekarang dah 2018.

"Saya ingat kita tengok ke depan, bayangkanlah inilah keajaiban dan kuasa ALLAH, Akhirnya carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum semula," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas tamat majlis Pengenalan Calon Harapan peringkat Baling di hadapan Pejabat Persatuan Pengusaha dan Penoreh Getah Negeri Kedah (Pergetah), di sini malam tadi.

Beliau berkata, gambar Datuk Seri Anwar Ibrahim bergambar dengan Tun Mahathir Mohamad membawa banyak makna.

"Gambar itu saja saya ingat banyak makna, 1,001 makna, daripada situ selesai semua masalah yang lama-lama. Kita melihat masa depan negara yang lebih cerah," katanya.

Media pada 25 lalu melaporkan kenyataan Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mempersoal apakah kes mata lebam itu benar-benar berlaku atau sebaliknya.