ALOR SETAR - Umat Islam perlu menghayati roh penghijrahan Nabi Muhammad SAW, yang sanggup bersusah payah demi memartabatkan Islam.

Pesuruhjaya Pas Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi berkata, penghijrahan diri hendaklah bertitik tolak daripada muhasabah peribadi, insaf, taubat dan akhirnya menelusuri kehidupan baru menerusi bimbingan guru.

“Berhijrah daripada malas kepada rajin. Daripada jahil kepada berpengetahuan, serta daripada berterabur kepada berdisiplin. Semua ini memerlukan hijrah. Marilah kita menghijrahkan diri menjadi insan terbaik, bermatlamat, fokus dalam kerja-kerja Islam dan istiqamah dalam perjuangan,” katanya, sempena sambutan Maal Hijrah.

Menurutnya, penghijrahan menuntut pengorbanan, kecekalan, istiqamah serta kesabaran.

“Lihat bagaimana Rasulullah SAW dan para sahabat berhijrah meninggalkan tanahair, harta benda, kekayaan dan keluarga kerana mempertahankan Islam. Berhijrah mencari tapak baru penyebaran  dakwah Islam serta mendaulatkannya,” katanya.

Ahmad Fakhruddin berkata, antara perubahan paling penting adalah penghijrahan daripada jahiliah kepada mengenal Allah SWT dengan berpegang kepada akidah Islam.

“Hayati peristiwa Hijrah, yang menggambarkan sifat ukhuwah antara kalangan Muhajir dari Mekah dan Ansar yang mendiami Madinah, dengan sifat pemurah dan mengutamakan golongan yang berhijrah lebih daripada kepentingan diri mereka sendiri,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, umat Islam negara ini diminta mencontohi sikap yang dipaparkan dalam peristiwa Hijrah itu demi manfaat sejagat.