ALOR SETAR – Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) memberi tumpuan di kawasan dua batu nautika dari Pulau Payar dekat Langkawi sebagai kawasan pencarian selepas menemui tompokan minyak yang dipercayai milik bot pukat tunda yang dipercayai karam sebelum ini.

Timbalan Pengarah Operasi Daerah Maritim (DM) 1 Langkawi, Komander Nurulazme Zakariah berkata, tompokan minyak itu berkemungkinan dari bot pukat tunda yang dinaiki oleh seorang tekong dan dua awak-awak ketika keluar menangkap ikan di perairan berkenaan sejak 7 Mac lalu.

Beliau berkata, seramai lapan anggota penyelam dari Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim) ditugaskan untuk membuat selaman menggunakan kenderaan bawah air yang dikenalikan secara jarak jauh (ROV).

“KM (Kapal Maritim) Burau bersama pasukan penyelam Maritim telah bertolak dari DM 2, Pulau Pinang, manakala bot penyelamat 5 dari DM1 ditugaskan dalam operasi mencari dan menyelamat dan telah bertolak dari jeti Maritim Bukit Malut, Langkawi pagi ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, seramai 22 anggota dari KM Burau serta enam anggota dari bot penyelamat terlibat dalam operasi itu bagi mengesan  bot pukat tunda tersebut.

Pasukan penyelamat sebelum ini menemui pakaian, bungkusan makanan dan jaket jaket keselamatan yang terapung di sekitar pulau itu dan mendapat petunjuk baharu selepas penemuan tompokan minyak oleh KM Siangin pada 17 Mac lalu.

Sebelum ini, media melaporkan tekong Harif Fadelah Zainol, 58, dan awak-awak Abd Ghani Jusoh, 56, dan Mohd Azrul Mohd Hassan, 24, dikhuatiri lemas selepas bot pukat tunda mereka dipercayai karam di perairan pulau itu.

Maritim menerima laporan tentang kejadian itu pada 8.20 pagi, 15 Mac lalu daripada pemilik bot selepas bot berkenaan tidak kembali ke pangkalan Kuala Kedah pada 12 Mac seperti dijadualkan. - Bernama