GEORGETOWN - Kelab Media Mutiara Pulau Pinang (Media Mutiara) tewas 0-1 kepada pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) dalam perlawanan persahabatan bola sepak di Padang Sintetik Jabatan Laut dekat Gelugor, baru-baru ini.

Kedua-dua pasukan seakan-akan buntu mencari penyudah terbaik pada separuh masa pertama selain ketangkasan penjaga gol berjaya menyelamatkan pintu gol daripada dibolosi.

Gol kemenangan Maritim hadir pada separuh masa kedua selepas berlaku kekalutan di hadapan pintu gol dan salah seorang pemain pertahanan Media Mutiara tertolak masuk bola ke dalam gawang sendiri.

Ketua Biro Sukan Media Mutiara, Azeli Ali berkata, perlawanan itu diadakan bagi mengeratkan lagi hubungan antara kedua-dua pihak yang hanya bertemu ketika operasi atau sidang akhbar sahaja sebelum ini.

“Dengan adanya perlawanan bola sepak persahabatan seperti ini, kedua-dua pihak dapat beradu tenaga selain mempertajamkan skil masing-masing serta mengeratkan hubungan.

“Pihak Media Mutiara juga merancang mengadakan lebih banyak perlawanan persahabatan seperti ini sama ada bola sepak atau futsal bersama agensi kerajaan atau swasta bagi mendekatkan hubungan dengan pihak luar,” katanya.

Katanya, aktiviti sukan seumpama itu adalah sebahagian daripada aktiviti Media Mutiara selain berteraskan kebajikan untuk ahli-ahli serta melalui program bersama pihak luar.