ALOR SETAR - Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) melancarkan Rayuan Dana Kayu Api untuk Rohingya bagi memenuhi keperluan bahan bakar utama itu di kem-kem pelarian sekitar persempadanan Bangladesh-Myanmar.

Naib Presidennya, Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, antara keperluan asas pelarian Rohingya di kem Teknaf, Khutupalong, Balukhali dan Thankali di wilayah Cox’s Bazar, Bangladesh adalah bahan bakar untuk memasak dan memanaskan suhu ketika musim sejuk.

“Kayu api adalah keperluan hidup yang sangat penting, selepas makanan dan khemah untuk perlindungan. Di khemah, mereka tidak ada dapur gas untuk memasak, hanya gunakan sepenuhnya kayu api,” katanya.

Bagaimana pun, beliau berkata, hutan di sekeliling khemah yang menjadi sumber kayu api, kini sudah habis ditebang.

“Kayu api kini sukar diperoleh dan perlu dibeli, Mapim sudah berbincang dengan rakan kerjasama di sana untuk dapatkan pembekal kayu api yang diambil dari daerah lain termasuk dari Chittagong, Bangladesh,” katanya.

Menurutnya, untuk tujuan itu, Mapim menawarkan pakej RM12/10 kilogram (seikat) untuk sebuah keluarga dan dijangka mampu bertahan selama sebulan.“Ketika saya ke sana bulan lepas, pelarian merayu sumbangan kayu api kerana sekarang musim sejuk dan dijangka berlarutan hingga akhir Mac. Selain bantuan kayu api, bantuan makanan dan beras tetap diteruskan,” katanya.

Ahmad Tarmizi berkata, jumlah pelarian baharu dianggarkan mencecah 680,000 orang, tidak termasuk pelarian sedia ada yang jumlahnya melebihi 300,000 orang.

“Delegasi Mapim akan ke Cox’s Bazar pada 26 Februari ini untuk misi penghantaran bantuan kayu api. Sumbangan masih diperlukan, setakat ini kutipan dana sekitar RM55,000, di mana kami sasarkan kutipan RM100,000,” katanya.

Menurutnya, umat Islam diminta membantu menyalurkan bantuan berterusan kepada etnik Rohingya.

“Makanan, perubatan, pakaian dan tempat tinggal perlu disediakan bagi mengelak risiko lebih buruk seperti jangkitan penyakit, kematian dan sebagainya. Mapim merayu seluruh dunia hulurkan sumbangan untuk disalurkan kepada pelarian yang masih bertahan di Arakan,” katanya.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Baitul Rahmah - MAPIM di nombor akaun 5520 9522 4432 (Maybank) atau hubungi talian 0197585658 (Shukri).