• Mangsa maut setelah dirempuh lori. Gambar kecil: Ismail Mangsa maut setelah dirempuh lori. Gambar kecil: Ismail
1 /

KULIM - Seorang lelaki berusia 53 tahun maut apabila motosikal ditunggangnya dirempuh lori dari arah belakang ketika memasuki selekoh ke Titi Karangan.

Ketua Trafik Kulim, Asisten Superintendan Ismail Ayob berkata, mangsa dipercayai datang dari arah Taman Kuchai sebelum terlibat dalam kemalangan di tempat kejadian.

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 petang apabila mangsa dengan tiba-tiba masuk ke laluan lori.

“Pemandu terlibat cuba membrek, bagaimanapun gagal memberhentikan kenderaannya sebelum merempuh mangsa.

“Akibat rempuhan itu mangsa cedera parah di perut dan kepala. Siasatan mendapati, lori datang dari arah lampu isyarat simpang tiga Taman Kuchai.

“Apabila lampu hijau, mangsa yang datang dari arah sama masuk ke laluan lori. Pemandu lori cuba membrek tetapi gagal,” katanya.

Mangsa maut di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Kulim untuk bedah siasat.

Polis turut menahan pemadu lori terlibat untuk siasatan lanjut dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Ismail menasihatkan penunggang motosikal supaya tidak menunggang motosikal dengan terburu-buru sehingga mengakibatkan kemalangan.

Menurutnya, penunggang motosikal seharusnya memberi laluan kepada kenderaan di belakang mereka, terutama kenderaan berat untuk mengelak dari berlakunya kesesakan lalu lintas.