ALOR SETAR - Mangsa banjir kilat di Baling menurun kepada 286 mangsa daripada 80 keluarga berbanding 492 mangsa daripada 128 keluarga yang masih ditempatkan di empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah itu.

Pegawai Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Baling, Lt (PA) Mohd Faizol Ab Aziz berkata, setakat pukul 10 pagi ini, seramai 188 mangsa daripada 53 keluarga ditempatkan di PPS Kompleks Rakan Muda Baling, Dewan Batu 48, dengan 49 mangsa daripada 13 keluarga, Dewan Banggol Derom 32 mangsa daripada tujuh keluarga dan Dewan Serbaguna kampung Desa KEDA Batu 8, 13 mangsa daripada enam keluarga.

“Situasi ketika ini ialah hujan lebat di seluruh daerah itu sejak 9 pagi menyebabkan tiada PPS yang ditutup walaupun mangsa yang ditempatkan di empat lagi PPS iaitu PPS Surau Kampung Lahar, PPS Surau Kampung Kuala Kedua, PPS Surau Kampung Charuk Sikin dan PPS Kampung Bawah Gunung telah pulang ke rumah masing-masing,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, sebelum ini kebanyakan mangsa dari Mukim Siong, Baling, Pulai dan Kupang terpaksa dipindahkan ekoran hujan berterusan sejak beberapa hari lepas menyebabkan banyak rumah penduduk ditenggelami air.

Banjir di Baling adalah kali ketiga berlaku di daerah itu sejak 8 Oktober lepas yang turut membabitkan daerah Kubang Pasu, Kota Setar, dan Pendang.- Bernama