GEORGETOWN - Bekas Exco Hal Ehwal Agama Islam, Datuk Abdul Malik Abul Kassim dilantik sebagai Yang Dipertua (YDP) Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) bagi menggantikan Datuk Mohd Salleh Man berkuatkuasa 1 Januari lalu.

Pengumuman itu dibuat Setiausaha Kerajaan Pulau Pinang, Datuk Seri Farizan Darus dalam sidang media di Pejabat Ketua Menteri, Komtar siang tadi.

Menurutnya, pelantikan Abdul Malik itu dibuat setelah mendapat perkenan Yang Dipertuan Agong bagi menggantikan bekas Adun Permatang Pasir tersebut.

Sebelum ini, Salleh Man dilantik sebagai YDP MAINPP pada 27 Julai 2012 yang tamat perkhidmatannya pada 31 Disember tahun lalu.

Abdul Malik sebelum ini merupakan Adun Batu Maung selama dua penggal namun tidak dicalonkan untuk PRU14 ini.

Farizan berkata, Abdul Malik akan dibantu timbalannya, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman iaitu calon PKR bagi Dun Pinang Tunggal yang akan berhadapan dengan calon BN, Datuk Roslan Saidin.

“Pelantikan ini berkuat kuasa bermula 1 Januari tahun ini sehingga 31 Disember 2019. Beliau akan dibantu oleh timbalannya, Ahmad Zakiyuddin,” katanya.

Lima Ex-Officio dilantik antaranya Farizan sendiri, Mufti Pulau Pinang, Datuk Wan Salim Wan Mohd Noor dan Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Roslee Chik.

Sementara itu, Abdul Malik berkata, beliau akan menjalankan tanggungjawab tersebut dengan sebaiknya di negeri ini.