ALOR SETAR - Mahkamah Tinggi Alor Setar hari ini menolak untuk mendengar permohonan reman lima hari yang ditetapkan Penolong Pendaftar Majistret  Georgetown ke atas Exco Pulau Pinang, Phee Boon Poh.

Hakim Datuk Hashim Hamzah membuat keputusan itu, selepas mendengar hujahan pendakwaan yang diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pembelaan diketuai oleh peguam Ramkarpal Singh, RSN  Rayer dan Devkumar Kumaraendran mewakili Boon Poh, 66, bersama dua lagi individu, Gan Buck Hoe, 70 serta anaknya, Edmund Gan Eu Lee, 37.

Hashim mengarahkan permohonan semakan itu difailkan semula di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

"Saya berpendapat bahawa semakan semula permohonan ini sepatutnya difailkan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang sebagai forum yang sesuai untuk mendengar,"katanya.

Permohonan itu difailkan di Mahkamah Alor Setar, pada jam 9.15 pagi, hari ini, oleh peguam mewakili tiga tahanan SPRM termasuk Adun Sungai Puyu yang juga  Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar.

Usaha itu dibuat berikutan, peguam gagal mendapatkan semakan permohonan itu di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang kerana mahkamah ditutup pada hujung minggu.

Sementara, usaha menghantar dokumen ke rumah Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Hadhariah Syed Ismail tidak berjaya kerana tiada orang untuk menerima dokumen itu.

Semalam, barisan peguam mewakili suspek mencabar keputusan reman lima hari yang ditetapkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Georgetown, Ameera Mastura Khamis dengan alasan keputusan beliau, dibuat tidak teratur dan tidak sah tanpa mendengar hujah peguam yang mewakili Boon Poh, pengarah dan pengurus kilang terbabit.

Booh Poh bersama pengarah dan pengurus kilang di Sungai Lembu ditahan reman lima hari bermula semalam hingga 16 Ogos bagi membantu siasatan SPRM berkaitan isu kilang haram memproses serbuk kayu yang didakwa mencemar alam sekitar.

Boon Poh ditahan SPRM kira -kira jam 3.35 petang Jumaat selepas hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Pulau Pinang.

Pengarah syarikat berusia 70 tahun ditahan pada jam 6.05 petang sementara anak lelakinya berusia 37 pula pada jam 6.25 petang, masing-masing di Pejabat SPRM Pulau Pinang.

Dalam pada itu, SPRM turut merampas dokumen berkaitan di pejabat Boon Poh di Komtar dan melakukan menggeledah di rumahnya di Sungai Puyu.

Penahanan Booh Poh dibuat selepas SPRM menyerbu Pejabat Jabatan Perlesenan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan kilang haram berkenaan pada Khamis lalu.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MUAR - Seorang buruh pemasang jubin lantai dihukum penjara 18 tahun oleh Mahkamah Tinggi Muar, hari ini, selepas didapati bersalah menyebabkan kematian bekas kekasihnya empat tahun lalu akibat cemburu.
  • KUCHING - Mahkamah Majistret di sini hari ini membebaskan dua pemain Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) dan seorang lelaki dipercayai ‘bookie’ yang sebelum ini ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung kes mengatur perlawanan Liga Premier.
  • KUANTAN - Tiga rakan yang juga agen syarikat pinjaman wang tanpa lesen mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuantan, di sini, hari ini atas kesalahan mengedar kad pinjaman wang tanpa lesen, Selasa lalu.
  • KOTA KINABALU - Empat individu termasuk seorang timbalan pengarah sebuah jabatan kerajaan direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah membabitkan projek infrastruktur pengangkutan di Sabah.
  • KUALA TERENGGANU - Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) tiada halangan membenarkan Nurul Jannah Abdullah, 7, meneruskan persekolahan ke darjah dua tahun depan Jika keluarga angkatnya ​​dapat mengemukakan dokumen lengkap mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.