PENDANG - Longgokan najis ayam untuk pembajaan di sebuah ladang kelapa sawit berhampiran Sekolah Model Khas Bukit Jenun, di sini dikenal pasti sebagai punca kehadiran ribuan lalat yang menjejaskan lebih 800 pelajar serta guru di sekolah itu sejak tujuh bulan lepas.

Pengetuanya Johari Jaafar berkata, para pelajar bukan sahaja diganggu pada waktu makan, belajar atau berada di makmal komputer, tetapi turut menghidu bau busuk daripada najis ayam itu setiap kali penghantaran najis itu dilakukan pihak penternak kepada ladang terbabit.

“Masalah lalat dan bau busuk najis ayam ini telah berlarutan sejak dua tahun lepas, namun keadaan semakin buruk pada Jun tahun lepas yang berpunca daripada najis ayam yang dijadikan baja organik di sebuah ladang kelapa sawit yang terletak kira-kira 50 meter dari sekolah.

“Najis-najis ini dihantar kepada pemilik ladang secara percuma sebagai cara mereka melupuskan najis tersebut sehingga mengundang kehadiran lalat di sekolah dan kampung berdekatan," katanya kepada pemberita selepas memberikan taklimat kepada Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan negeri, Datuk Tajul Urus Mat Zain berhubung masalah tersebut di sekolah itu hari ini.

Katanya, sehingga kini belum ada pelajar atau guru ditimpa penyakit bawaan, namun langkah berjaga-jaga tetap diambil pihak sekolah kerana lalat adalah serangga yang membawa pelbagai penyakit berbahaya.

Sementara itu, pelajar Tingkatan Lima, Mohammad Fakhrul Farhan Mohd Faisal berkata, ladang kelapa sawit itu terlalu hampir dengan sekolah sehingga menyebabkan lalat sering menghinggapi makanan yang dihidang pihak kantin dan kelihatan jijik.

“Ketika makan pun lalat masuk dalam nasi kami dan air minuman menyebabkan terpaksa diganti yang baharu...tauke kantin pula sentiasa memastikan makanan ditutup setiap masa dan menabur daun pandan serta meletakkan perangkap lalat bagi mengurangkan jumlahnya,” katanya.

Dalam pada itu, Tajul Urus berkata masalah ini sudah dalam perhatian Majlis Daerah Pendang dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri yang mana beberapa tindakan telah diambil oleh pemilik ladang kelapa sawit itu.

Antaranya ialah mengakui kesilapan yang dilakukan dan telah hadir ke sekolah memohon maaf kepada pihak pengetua serta berjanji untuk menanam semua najis ayam berkenaan di ladangnya itu dengan segera.

"Apabila sampai ke pengetahuannya, pemilik ladang terus bertindak menutup najis ayam dengan tanah serta meletakkan kapur bagi menghilangkan bau busuk dan menyembur racun serangga pada Khamis lepas dan jumlah lalat dilihat semakin berkurangan hari ini," katanya.

Katanya, pemilik ladang ayam juga diminta bertanggungjawab dengan sisa najis tersebut dan tidak sesuka hati melupuskannya dengan memberikannya secara percuma kepada pengusaha ladang kelapa sawit.

Tajul Urus berkata, pihak veterinar sedang memantau perkara ini dan akan mengambil tindakan yang tegas di bawah Enakmen Perladangan Unggas 2005 jika didapati gagal mengatasi masalah ini selepas amaran diberi sebelum ini. - Bernama