ALOR SETAR - Seramai 15 petani mendakwa buntu apabila hilang punca pendapatan selepas 30 hektar sawah padi terletak berhadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Kedah, di sini, rosak ditenggelami air.

Lebih meresahkan, kesemua petani terlibat di bawah projek Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) Kuala Sungai mengalami kerugian dianggarkan lebih RM50,000 apabila air memasuki sawah padi mereka.

Shamsudin Arshad, 66, berkata, sawah padi di kawasan itu ditenggelami air dipercayai berpunca dari sistem saluran air parit dan longkang berdekatan yang pecah dan tersumbat, ditambah hujan turun akhir-akhir ini.

“Walaupun sudah membelanjakan banyak wang, tetapi pak cik sedih kerana tidak dapat menanam padi seperti biasa untuk musim tanaman padi berikutan sawah padi dipenuhi air,” katanya.

Shamsudin berkata, dia sudah membelanjakan kira-kira RM3,000 termasuklah kos sewa tanah kepada tuan tanah, tabur benih, meracun dan bajak untuk dua hektar sawah padi pada musim ini di kawasan tersebut.

“Tahun lepas, sempat juga tanam padi, walaupun ada yang menjadi, ada yang tak jadi. Bagaimanapun, kali ini pak cik tak boleh buat apa, walaupun sudah menabur benih sebanyak tiga kali disebabkan sawah dibanjiri air,” katanya.

Menurutnya, dia bukan hanya menanggung kerugian besar kerana sudah mengeluarkan wang demi menampung kos menanam padi, malah kini sudah kehilangan punca rezeki untuk meneruskan kehidupan.

Tiada penyelesaian

Manakala, Zakaria Ahmad, 69, berkata, dia yang bergantung sepenuhnya kepada tanaman padi resah memikirkan nasib keluarganya selepas hilang punca pendapatan keluarga selepas sawah ditenggelami air.

“Pak cik tak usaha sawah padi banyak, hanya satu hektar sahaja. Tetapi itulah, mata pencarian hidup pak cik selama ini, tak dak hat lain dah. Kalau tak boleh tanam padi, pak cik nak makan apa selepas ini,” katanya.

ZAKARIA

Sementara itu, Mohd Shukor Saidi, 35, berkata, dia yang membantu mengusahakan sawah padi milik orang tuanya turut bingung dengan masalah limpahan air ke sawah dialami mereka.

“Kami keluar duit dah untuk kos tabur benih semuanya, tetapi tak boleh teruskan sebab air penuh. Paling ketara, musim hujan turun kerana batas sawah pun tak nampak sebab tenggelam,” katanya.

Menurutnya, petani sudah tidak tahu untuk membuat aduan kepada siapa demi menyelesaikan isu itu, memandangkan masalah dialami mereka dilihat terus berpanjangan tanpa penyelesaian.

“Kami sudah ambil inisiatif sendiri untuk pasang penghadang sampah, dan mengutip sampah sarap tersangkut pada penghadang. Bagaimanapun, keadaan masih sama. Jadi, harap pihak berwajib tolonglah kami,” katanya.

Katanya, dia juga merayu supaya petani terlibat diberi ganti rugi kerosakan sawah padi dialami mereka untuk musim 2/2017 dan musim 1/2018, malah bakal mengalami kerugian sama untuk musim 2/2018 jikalau perkara ini berlarutan dan tidak dibaiki segera.

Difahamkan, penyelia NKEA Mada Kuala Sungai, Rozaimi Hashim telah membuat aduan kepada pelbagai pihak, bagaimanapun masalah berkenaan didakwa masih berlarutan sehingga kini.