JITRA - Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) akan melantik pembantu amil di 565 kariah di seluruh negeri dalam usaha menambah baik proses agihan zakat.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zakaria  Othman berkata perlantikan oleh pengurusan tertinggi LZNK itu diwujudkan bagi membolehkan agihan zakat mengenai sasaran penerima dengan lebih meluas.

“Pembantu amil ini adalah sukarelawan yang akan dikenal pasti dan kita akan melihat kaedah yang sesuai bagi membayar elaun kepada kerja mereka. Tugas mereka adalah mencari asnaf di dalam kariah, maknanya mereka mencari asnaf dan beri nama kepada kita.

“Antara tugas lain ialah menguruskan segala bentuk bantuan, borang permohonan dan segala urusan berkaitan di daerah tersebut. Maknanya urusan dengan orang kampung dia boleh selesai di peringkat kariah  termasuk menentukan asnaf yang betul-betul layak,” katanya kepada pemberita selepas Penyampaian Hadiah Amil Zakat Fitrah 2017 di sini hari ini.

Katanya, pendekatan yang diambil ini juga membolehkan tugas amil utama di  kariah turut dibantu.

Zakaria berkata, sebelum ini, wujud isu selepas siasatan dibuat masih terdapat orang kampung yang tinggal jauh di pedalaman tidak menerima bantuan, kerana LZNK tidak mempunyai maklumat dan mereka ini juga tidak mampu pergi ke pejabat zakat di daerah untuk berbuat demikian.

Dalam pada itu,  pihaknya akan berbincang dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri untuk menyelaraskan bantuan kepada asnaf berdasarkan beberapa pertimbangan.

“Ada kriteria yang JKM bagi dan pada masa sama mereka juga didapati layak mendapat zakat, sebab itu kita berbincang dengan JKM dan akan buat penyelarasan agihan sekiranya taraf keluar miskin tegar RM450, JKM bagi RM300 dan LZNK akan tambah RM150 supaya mereka keluar daripada paras miskin tegar itu, ” katanya

Sementara itu, beliau berkata, LZNK akan menggunakan masjid sebagai platform untuk menyampaikan maklumat mengenai perkhidmatan yang ditawarkan mereka.

Ini termasuk menggunakan papan iklan masjid untuk memaparkan nama penerima bantuan serta amil zakat yang dilantik sah sebagai rujukan penduduk setempat.

Pada program tersebut Masjid Nurul Salam, Ewa di Pulau Langkawi menduduki tempat pertama bagi kategori masjid yang membuat kutipan tertinggi iaitu RM13,874 berbanding RM3,549 kutipan pada 2016.

Bagi kategori agen kutipan pula Bazar Ramadan pekan Baling menunjukkan peningkatan kutipan sehingga 180 peratus iaitu RM4,900 berbanding RM1,750 yang dicatatkan tahun sebelumnya. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan menerima pembayaran zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2015 hingga 2017 daripada tujuh syarikat berjumlah RM2.8 juta di Istana Perak, Changkat Persekutuan, di sini hari ini.
  • KOTA BHARU - Pemangku Raja Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra berkenan menerima zakat perniagaan daripada Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) berjumlah RM11.8 juta, di Istana Kota Lama, disini.
  • BANDAR KUALA KANGSAR - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (Maipk) menyasarkan kutipan zakat RM186 juta tahun ini, berbanding RM150 juta tahun lepas.
  • BANDAR KUALA KANGSAR - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (Maipk) menyasarkan kutipan zakat berjumlah RM 186 juta pada tahun ini.
  • SHAH ALAM - Lembaga Zakat Selangor (LZS) menafikan maklumat bantuan RM400 diberikan kepada ibu bapa mempunyai tiga anak bersekolah, seperti tersebar dan menjadi tular melalui aplikasi WhatsApp.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.