KEPALA BATAS - Bertawaf mengelilingi Kaabah merupakan antara pengalaman berharga bagi 730 kanak-kanak daripada Tadika Little Caliph Zon Utara, tadi.

Menariknya program yang dikenali sebagai Little Hajj ini merupakan program kedua terbesar dianjurkan bagi kawasan utara ini di Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Pengarah program Mohd Shukor Ahmad berkata, Little Hajj bagi kawasan utara ini melibatkan kanak-kanak Tadika Little Caliph bagi Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Perak Utara.

“Alhamdulillah, program diadakan ini sebagai salah satu program bersifat praktikal yang diterapkan kepada kanak-kanak di Little Caliph.

“Kesemua murid didedahkan dengan keadaan sebenar iaitu sebelum dan semasa mengerjakan haji. Ia diterapkan bagi memastikan mereka memahami mengenai konsep sebenar rukun Islam kelima itu,” katanya dalam sidang media selepas program semalam.

Hadir sama merasmikan majlis ialah Adun Telok Air Tawar Mustafa Kamal Ahmad.

Menariknya, kesemua peserta yang terdiri daripada kanak-kanak berusia enam tahun didedahkan dengan suasana sebenar ketika berada di tanah suci.

“Semua peserta memakai ihram dan urus setia turut menyediakan replika Kaabah, kaunter Imigresen, tempat Wukuf, mengutip batu dan melontar Jamrah, Bukit Safa dan Marwah serta kawasan bertahallul,” katanya.