BALING - Polis belum dapat mengesahkan punca kematian lima lelaki yang lemas di Sungai Muda, Kampung Padang Bukit, Taman Permai semalam.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shariffuddin Yusof berkata, bedah siasat ke atas lima mangsa selesai dilakukan petang tadi, namun pakar bedah siasat perlu menunggu laporan makmal lebih terperinci.

“Sekumpulan pakar bedah siasat dari Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar telah menjalankan post mortem ke atas lima mangsa tersebut. Hasil bedah siasat telah selesai pada jam 6 petang hari ini.

“Namun pakar bedah siasat masih belum dapat mengesahkan punca kematian kerana perlu menghantar spesimen ke Jabatan Kimia bagi mendapatkan laporan analisis makmal yang lebih terperinci,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Sinar Harian semalam melaporkan mayat lima lelaki ditemui terapung di permukaan sungai.

Semua mangsa dipercayai lari daripada serbuan polis dalam Op Limau Judi Sabung Ayam pada 16 Februari lalu di dalam ladang kelapa sawit Kampung Tanah Licin.