TASEK GELUGOR - Nasib seorang lelaki yang menghidap penyakit misteri di Taman Senangan, Telor Air Tawar, di sini kini mendapat perhatian rakan-rakan lamanya.

Adiknya, Nazrulizam Ismail, 34, berkata, selepas kisah penderitaan abangnya, Nor Akmar Ismail, 44, yang terlantar disiarkan Sinar Harian, ramai rakan-rakannya datang melawat dan terkejut dengan keadaan lelaki itu.

"Ada yang datang rumah, ada yang telefon saya. Depa tak sangka boleh jadi macam ini.

"Dulu abang saya memang seorang yang aktif. Ramai kawan-kawan. Jadi bila dah macam ni, mereka terkejut bila tengok badan abang dah kurus. Dulu tak macam ni, abang berisi," katanya.

Menurutnya, abangnya itu mula terlantar sakit sejak hampir setahun lalu.

"Dulu masa lepas habis sekolah, memang dia ada terlibat kemalangan, tapi lepas itu keadaan dia macam biasa.

"Cuma dalam beberapa minggu sebelum dia terlantar, dia ada alami perubahan ketara, dia kerap marah-marah, emosinya tak stabil. Sekarang dia makin lemah," katanya.

Nazrulizam berkata, dia dan keluarga sudah beberapa kali membawa Nor Akmar mendapatkan rawatan baik secara moden dan tradisional.

"Puas saya dan keluarga bawa abang pergi berubat. Pergi hospital pun tak dapat kesan apa-apa. Cuma mereka beritahu abang ada darah tinggi saja," katanya.

Kisah Nor Akmar yang disiarkan Sinar Harian  sebelum ini kemudiannya mendapat perhatian pihak Econsave yang hadir menyampaikan sumbangan, semalam.

Sumbangan berupa barangan keperluan harian disampaikan oleh Pengurus Operasi Econsave Wilayah Utara Zamzuri Mansor.

Zamzuri berkata, pihaknya hadir bagi menyampaikan sumbangan supaya dapat mengurangkan beban keluarga Nor Akmar.

“Barangan keperluan harian bernilai RM1,000 disampaikan dan secara langsung ini merupakan sebahagian daripada kerja sosial pihak Econsave dalam membantu mereka yang memerlukan.

“Secara tidak langsung mengeratkan hubungan pihak Econsave dengan masyarakat setempat,” katanya.

Hadir sama dalam kunjungan ini adalah pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Seberang Perai Utara.

Difahamkan pihak JKM menyampaikan bantuan segera kepada Nor Akmar dan pada masa sama akan mempertimbangkan bantuan sewajar kepadanya.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.