BALING - Pengusaha laksa kebok lega dengan penerangan daripada Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (GLC), Datuk Dr Ismail Salleh.

Daud Ismail, 52, berkata, dia lega apabila Ismail memberikan jaminan peniagaan laksa kebok akan dibenarkan beroperasi selepas melalui prosedur jabatan kesihatan.

"Alhamdulillah, bila ada jaminan macam itu rasa lega. Sebelum ini kita tertunggu-tunggu bila nak buka." katanya pada sidang media di rumahnya di Kampung Sri Landak, di sini hari ini.

Menurutnya, hanya perniagaan laksa itu sumber rezeki keluarganya selama ini.

"Kita nak makan, bayar kereta, sekolah, nak bagi anak-anak makan. Kita pun duk bergantung dengan jualan itu saja," katanya.

Walaupun sehari jualannya mencecah RM400 hingga RM500, Daud berkata, untung sebenar tidak seberapa selepas ditolak modal dan sebagainya.

"Bunyi beratus, tetapi berapa saja dapat. Jika kebenaran tidak diperolehi sebelum Sabtu ini, saya mungkin terpaksa tunda kenduri kesyukuran," katanya.

Difahamkan, jabatan berkaitan tidak datang melakukan pemeriksaan seperti dijanjikan kepada Daud.

Dalam pada itu, pekarangan rumah Daud dipenuhi sekumpulan media sejak jam 9 pagi.

Mengulas perkara itu, dia berpegang pada janji jabatan berkenaan untuk hadir namun kehampaan itu terubat dengan penjelasan dan jaminan Ismail.