TELOK AIR TAWAR - Adun Telok Air Tawar, Mustafa Kamal Ahmad lebih selesa dipanggil Pak Mus daripada digelar YB.

Menurutnya, panggilan Pak Mus itu sudah sinonim kepada masyarakat di sini.

“Memang selalunya kalau saya pergi program atau melawat rumah mereka yang memerlukan atau pergi kenduri, memang selalu masyarakat akan panggil saya dengan panggilan Pak Mus.

“Jadi saya memang kalau boleh panggilan ni biar kekal, tak panggil YB pun tak mengapa, asal dekat di hati masyarakat," katanya.

Sementara itu, mengulas manifestasi yang dijanjikan sebelum ini katanya, pelbagai program pembangunan akan direncanakan di kawasan Telok Air Tawar.

“Antara yang akan diberi perhatian selepas ini termasuklah naik taraf klinik, pejabat pos dan sebuah bank di sini. Insya-ALLAH, kita akan memastikan masyarakat di Telok Air Tawar sentiasa diutamakan dari segi pembangunan,” katanya.

PRU14 lalu, Mustafa Kamal meraih undi 7,072 undi menewaskan calon BN, Parti Rakyat Malaysia dan Pas.

Kemenangan yang diraihnya itu sekali gus melakar sejarah baharu kerana beliau berjaya menembusi kubu kuat BN di Parlimen Tasek Gelugor ini.