PENDANG - Lebih 50 buah rumah di tiga buah kampung iaitu kampung Bukit Cepat, Alor Nan dan Bukit Kobah dekat sini rosak teruk di bahagian bumbung akibat dilanda ribut.
   
Kejadian kira-kira pukul 6.30 petang semalam turut mengakibatkan pokok tumbang dan menghempap rumah penduduk sehingga ada beberapa buah rumah yang diperbuat daripada kayu roboh sepenuhnya.
   
Che Puan Morad, 55, berkata dia mengalami kerugian kira-kira RM20,000 apabila seluruh bumbung rumahnya diterbangkan angin kuat dan kelengkapan rumah termasuk perabot serta barangan elektrik rosak terkena hujan.
   
Katanya ketika kejadian dia berada di rumah bersama dua cucunya yang baru sahaja berkhatan dan tiba-tiba deruman angin kuat datang sekali gus menerbangkan bumbung rumah dalam sekelip mata.
   
"Masa itu hujan lebat dan disusuli angin kencang. Dalam sekelip mata sahaja saya tengok bumbung dah tak ada tapi syukur saya dan cucu selamat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.

Mokhtar Abd Wahab, 56, dari kampung Alor Nan berkata ketika kejadian dia sedang berehat di hadapan rumah seorang diri dan nampak angin berwarna putih memutar beberapa buah rumah sebelum melanda rumahnya.
   
Katanya disebabkan terlalu takut dengan kejadian itu dia segera melaungkan azan beberapa kali sambil menangis dan segera masuk ke dalam rumah bagi menyelamatkan anak dan isteri yang berada di dalam rumah.
   
Mohd Hazir Chat, 35, berkata dia kerugian lebih RM15,000 apabila sebahagian tingkat atas rumahnya berstruktur papan musnah keseluruhan selain dua motosikal yang berada di bahagian bawah rumahnya.
   
Kebanyakan mangsa kini terpaksa berteduh di dalam rumah yang tidak berbumbung dan ada yang menetap di rumah saudara mara sambil mengharap bantuan daripada pihak berkaitan bagi membaik pulih rumah dengan segera - Bernama