GEORGE TOWN - Lebih 200 orang menghadiri temuduga bagi mengisi kekosongan jawatan konstabel sukarelawan simpanan polis yang diadakan serentak di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut dan IPD Seberang Perai Selatan bermula hari ini. 

Ketua Jabatan Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) negeri ACP Che Hussin Omar berkata temuduga terbuka itu diadakan sehingga Khamis depan dari pukul 7.30 pagi hingga 1 tengah hari. 

"Majoriti yang hadir adalah lelaki dan kita harapkan pada sesi akan datang lebih ramai kaum wanita menyertai temuduga ini," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata terdapat 750 kekosongan perjawatan untuk diisi dan ia terbuka kepada warga negara berumur 18 tahun hingga 45 tahun yang memiliki kelulusan minimum Penilaian Menengah Rendah sehingga Sijil Pelajaran  Malaysia dan ke atas. 

Setakat ini terdapat 322 anggota sukarelawan polis di Pulau Pinang.  - Bernama