ALOR SETAR - Balu kepada Johari Zakaria, 60, yang maut dihempap bumbung runtuh di sebuah kilang perabot di Jalan Gunung Keriang, di sini, pada 17 Julai lepas, bakal menerima faedah daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, Perkeso Kedah akan memberi Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM2,000 mengikut Seksyen 29 Akta Keselamatan Sosial Pekerja (AKSP) 1969 kepada keluarganya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, balu mangsa juga bakal menerima Faedah Orang Tanggungan secara berkala sepanjang hayatnya di bawah Seksyen 20A AKSP 1969 dianggarkan sekitar RM550 sebulan.

“Kini, Perkeso Kedah sedang menguruskan faedah tersebut di bawah Skim Bencana Kedah, yang mana balu arwah Johari dijangka menerima pencen bulanan pada 1 Ogos depan berasaskan gaji mangsa sebelum ini.

“Ahli keluarga mangsa kemalangan maut di tempat kerja akibat ribut itu layak menerima dua faedah itu kerana Johari membuat caruman Perkeso,” katanya dalam Majlis Penyampaian Cek Faedah Pengurusan Jenazah atas kematian pekerja semasa kejadian ribut pada 17 Julai lalu di Kampung Padang Lalang, di sini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Kuala Kedah merangkap Pengerusi PKR Kedah, Dr Azman Ismail; Exco Kesihatan merangkap Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh dan Timbalan Pengarah Perkeso Kedah, Basharuddin Khalid.

Mahfuz berkata, beliau berharap semua majikan dapat membuat caruman Perkeso untuk pekerja masing-masing kerana ia mampu memberi jaminan masa depan untuk keluarga dan pekerja itu sendiri.

Dalam perkembangan lain, katanya, dia berharap majikan kepada pekerja berstatus kontrak dan sementara turut diwajibkan untuk membuat caruman Perkeso untuk membela nasib golongan itu, sekiranya berlaku sesuatu perkara.

“Jikalau tidak mencarum itu akan merugikan pekerja, jadi harus buat caruman demi jaminan mereka. Jadi, saya harap pekerja juga tidak perlu takut untuk menuntut majikan membuat caruman kerana ia hak mereka yang perlu diperjuangkan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Perkeso Kedah, Mamsor Abdul Manaf berkata, siasatan mendapati arwah terlibat dalam kemalangan maut di tempat kerjanya akibat bencana alam iaitu ribut pada 17 Julai lepas.

Katanya, arwah Johari meninggal dunia akibat kemalangan di tempat kerjanya itu, sementara salah seorang pekerja lain cedera parah di kaki kiri dan kini masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

“Selepas dokumen diterima daripada pihak majikan, kes disahkan bencana kerja di bawah Seksyen 2(6) AKSP 1969, yang mana balunya menerima faedah Perkeso kerana suaminya membuat caruman,” katanya.

Menurut balunya, Salihah Che Pi, 54, dia terharu dan berterima kasih kepada Perkeso Kedah atas keprihatinan mereka menghulurkan bantuan selepas arwah suaminya meninggal dunia lima hari lepas.

“Terima kasih Perkeso Kedah, dengan wang pencen diberikan dapatlah mak cik gunakan untuk menampung hidup selepas kematian arwah suami. Kalau tak, terpaksalah kerja semula untuk mencari rezeki,” katanya.

Dalam kejadian jam 4.53 petang, 17 Julai itu, Johari meninggal dunia di tempat kejadian, sementara rakannya, Lim Bon Chew, 30, cedera apabila bumbung kilang perabot tempat mereka bekerja runtuh selepas dilanda ribut.