BALING - Perniagaan laksa kebok yang ditutup sementara oleh Kementerian Kesihatan sejak 7 Oktober lalu, dibenarkan beroperasi semula.

Pengusahanya, Daud Ismail, 51, berkata, berita gembira itu diumumkan oleh Jabatan Kesihatan Baling ketika kunjungan pihak itu ke rumahnya, hari ini.

Menurutnya, pihak terbabit akan datang melakukan pemeriksaan terakhir Selasa ini, sebelum perniagaannya boleh beroperasi.

“Saya belum fikir bila nak mulakan perniagaan. Tetapi insya-ALLAH saya akan adakan kenduri kesyukuran terlebih dahulu Sabtu ini.

“Majlis bermula dengan bacaan Yasin dan kenduri bermula jam 12 tengah hari. Saya jemput semua berkelapangan untuk hadir,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Menurutnya, dia yakin perniagaannya dapat kembali beroperasi hasil berkat doa tok guru sekitar Baling dan Sik dan keluarganya.

“Buat waktu ini tali larangan berniaga masih diikat di gerai. Pihak jabatan yang pasang dan depa juga perlu buang.

“Saya benarkan depa ikat dengan cara baik, dan saya minta tali itu juga dibuang dengan cara baik,” katanya.

[ARTIKEL BEKAITAN: Jabatan Kesihatan datang periksa telaga pula]