ALOR SETAR - Kecerdasan buatan (artificial intelligence) harus diteroka lebih mendalam bagi melahirkan generasi muda yang lebih kreatif dan berinovatif.

Exco Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Zamri Yusuf berkata, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) boleh merangka sistem berkaitan seiring dengan kemampuan pelajar yang kini lebih terdedah pada teknologi maklumat.

Menurutnya, pendekatan itu kurang diberi pendedahan di wilayah utara berbanding selatan yang telah lama meneroka bidang berkenaan.

“Kecerdasan buatan perlu diteroka pihak sekolah kerana kemampuan sudah ada pada pelajar dan tenaga pengajar. Saya percaya sistem ini boleh dirangka kerana adanya komitmen tenaga pengajar yang mampu hasilkan kecemerlangan dalam bidang ini,” katanya selepas majlis perasmian Majlis Anugerah Cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Syed Omar, mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, semalam.

Zamri berkata, sebagai langkah awal menuju era terbabit, kerajaan negeri sedang mengintai kerjasama dengan institusi pengajian tinggi (IPT) melalui konsep sekolah angkat.

“Untuk memberi pendedahan, kita akan jalin kerjasama dengan IPT dengan memilih sekolah cemerlang sebagai sekolah angkat. Kerajaan negeri akan bagi sokongan selain sediakan jaringan kemudahan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya akan mengenal pasti beberapa sekolah yang sudah terdedah pada inovasi seperti pertandingan robotik sebagai projek perintis.

“Kreativiti dan inovasi kalangan generasi kini semakin mudah dengan adanya teknologi tinggi dan telefon pintar. Pendedahan terbaik antaranya pertandingan mencipta Robot Sumo yang diadakan di Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB), Kulim, baru-baru ini,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Zamri berkata, pelajar bukan sahaja datang ke sekolah untuk belajar tetapi untuk dididik sebagai pewaris negara agar menjadi modal insan berilmu dan berakhlak.

“Ini selari dengan salah satu Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), iaitu meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan dalam semua bidang. NKRA itu sendiri adalah satu inovasi dasar dan strategi dalam merealisasikan hasrat memantapkan kualiti pendidikan negara,” katanya.

Menurutnya, semua pihak harus bersedia melakukan pembaharuan dalam sistem pendidikan melalui inovasi dasar dan strategi secara berterusan.

Zamri berkata, bagi menghasilkan pendidikan bermutu, guru perlu melakukan anjakan paradigma dalam melaksanakan pendekatan pengajaran dan pembelajaran dengan menggalakkan murid berfikir secara kreatif dan inovatif.

“Kita perlu berganjak daripada pendekatan model kilang penghasilan pendidikan kepada model penciptaan pengajaran dan pembelajaran memberangsang minda,” katanya.