TASEK GELUGOR - Zakat Pulau Pinang mencatatkan kenaikan 10 peratus kutipan zakat pada tahun ini berbanding tahun lepas.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Pulau Pinang Datuk Sazali Hussein berkata pihak Zakat Negeri Pulau Pinang menyasarkan kutipan sebanyak RM 110 juta pada tahun ini.

"Alhamdulillah, setakat ini kita melihat kutipan zakat bagi negeri ini telah mencecah sebanyak RM79.8 juta, dan kita yakin dengan kutipan sebanyak ini ia akan sampai ke sasaran yang kita tetapkan," katanya  dalam sidang media selepas hadir dalam program ziarah asnaf anjuran Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) dengan kerjasama Zakat Negeri Pulau Pinang di Zakat Mart, Tasek Gelugor semalam.

Beliau berkata, setakat ini Zakat Pulau Pinang telah mengagihkan kira-kira RM 70.4 juta untuk semua kumpulan asnaf di negeri ini.

"Dalam masa sama, pelbagai usaha dan pendekatan akan dilaksanakan Zakat Pulau Pinang untuk meningkatkan kutipan zakat dan masa sama memenuhi keperluan asnaf.

"Walaupun kutipan zakat tahunan juga sentiasa bertambah, namun pihak zakat sedar bahawa ia masih belum memadai bagi membolehkan pihaknya menampung semua perancangan jangka masa panjang yang direncanakan.

"Malahan kita lihat jumlah pemohon bantuan zakat yang sentiasa bertambah saban tahun menjadi cabaran besar kepada Zakat Pulau Pinang untuk memenuhi setiap keperluan asnaf ini terutamanya kumpulan fakir dan miskin," katanya.

Menurutnya, selain daripada memberikan bantuan kewangan secara terus kepada asnaf,  Zakat Pulau Pinang turut mengagihkan sumber zakat kepada kumpulan sasaran.

"Ia merangkumi dari segi tajaan pendidikan, latihan kemahiran, kursus dan projek-projek pembangunan asnaf melalui bengkel-bengkel yang dibangunkan.

"Selain itu, bantuan rawatan dialisis melalui Pusat Hemodalisis Zakat, Zakat Mart, Inapan Kasih Sayang, Pusat Latihan Zakat(Pulaza) dan sebagainya," katanya.