KUALA KETIL - "Konvokesyen kali ini satu kebanggaan" Itu reaksi Pengarah Komunikasi Korporat dan Hubungan Antarabangsa Kolej Universiti Insaniah (Kuin), Hamlan Din ketika menjawab tohmahan segelintir pihak bahawa majlis konvokesyen yang diadakan di institusi pengajian itu hambar.

Menurutnya, dakwaan itu sama sekali tidak benar, sebaliknya konvokesyen bermula semalam itu secara keseluruhannya berlangsung meriah.

"Dakwaaan mengaitkan konvokesyen kali ini kurang meriah tidak benar, tetapi konvokesyen kali ini adalah satu kebanggaan terutamanya apabila ia melibatkan Pemasyuran Censelor iaitu Sultan Kedah, Tuanku Sallehuddin Sultan Badlishah.

Graduan yang menerima anugerah bergambar kenangan bersama keluarganya.

"Sambutan pengunjung terhadap lebih 20 gerai jualan juga meriah. Selama dua hari berlangsungnya konvokesyen ini mencatatkan kira-kira 7,000 kehadiran melibatkan ibu bapa dan graduan," katanya ketika ditemui pemberita selepas tamat Majlis Konvokesyen Kali Ke-19 Kuin, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Hamlan berkata, tiada yuran pendaftaran dikenakan bagi anak Kedah dalam pengambilan 25 November depan bagi peringkat ijazah hingga doktor falsafah dalam pelbagai bidang.

"Kuin juga membiayai yuran pengajian pelajar Asasi Pengajian Islam dan Pengurusan selama setahun bagi pengambilan 25 November depan," Katanya.