ALOR SETAR - Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Seri Marina, Kuala Kedah terpilih mewakili Kedah dalam Anugerah Perdana Rukun Tetangga 2018.

Pegawai Perpaduan Daerah Kota Setar/Padang Terap/ Pokok Sena, Mohamed Zaizulzaman Zainal Abidin berkata, KRT Taman Seri Marina berjaya mewakili Kedah untuk dua daripada tujuh kategori dipertandingkan dalam Anugerah Perdana Rukun Tetangga 2018 itu.

Zaizulman berkata, dua kategori itu adalah kategori Pengurusan Skim Rondaan Sukarela (SRS) Cemerlang dan Projek Inovasi Rukun Tetangga.

“Setakat ini, Panel Penilaian Perpaduan Kedah telah turun padang membuat penilaian untuk memberi semakan, pandangan dan khidmat nasihat kepada persediaan awal KRT Taman Seri Marina.

“Jadi, pihak kami memuji dan menghargai kegigihan dipamerkan KRT Taman Seri Marina kerana berjaya sampai ke tahap membanggakan,” katanya.

Katanya, pihaknya berharap kejayaan itu memberi semangat kepada KRT itu untuk terus merancang dan melaksanakan pelbagai aktiviti yang dinamik demi perpaduan, pembangunan dan kesejahteraan komuniti.