YAN - Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Guar Chempedak Utara bersama Komuniti Batu 18 1/2 Guar Chempedak telah menganjurkan program pemberian pakaian secara percuma.

Pegawai Perpaduan Yan, Nasriza Long berkata program amal pemberian pakaian terpakai secara percuma dapat membantu golongan memerlukan.

Katanya,  KRT tersebut telah mengambil inisiatif mengumpul pakaian terpakai yang masih lagi dalam keadaan terbaik dan memberi secara percuma kepada penduduk setempat dan sesiapa saja yang memerlukan melalui program ini.

“Usaha yang sebegini meskipun kelihatan kecil tetapi memberi impak yang besar kepada mereka yang memerlukan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Nasriza, pakaian yang dikumpulkan adalah sumbangan penduduk dan dipilih dalam keadaan baik sebelum disediakan kepada golongan yang memerlukan.

“Sambutan daripada orang ramai sangat menggalakkan dan program ini bakal diteruskan lagi pada masa-masa yang akan datang,” katanya.