LANGKAWI - Mayat ketiga mangsa lemas di air terjun Kampung Buku, Lubuk Semilang, Langkawi ditemui pagi tadi selepas dilaporkan hilang akibat dihanyutkan selama 19 jam .

Mangsa, Anis Shahtirah Saad, 12, ditemui anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) kira-kira 5 kilometer (km) dari lokasi kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Langkawi, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Hisyam Ibrahim berkata, mangsa ketiga ditemui jam 11.46 pagi.

"Setakat ini, Anis Shahtirah merupakan mangsa ketiga ditemui. Manakala, operasi mencari mangsa terakhir,Siti Aishah Kasim, 5, yang masih belum ditemui sedang berjalan.

Anggota bomba meneruskan operasi mencari Siti Aishah

"Mangsa pertama, Qistina Puteri Wira, ditemui lemas jam 6 petang semalam, manakala Nor Aiman Mohd Rosli,11 ditemui jam 12.45 tengah malam," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar maut, 3 masih hilang dihanyut kepala air]

Ketika kejadian kira-kira 4.35 petang itu, enam pelajar dilaporkan sedang berkelah bersama keluarga masing-masing sebelum dihanyutkan arus deras.

Empat orang dihanyutkan arus deras, manakala dua pelajar sempat diselamatkan pekerja pusat rekreasi.

Mayat mangsa pertama, Qistina Puteri ditemukan di kawasan sungai berhampiran Pasar Ulu Melaka oleh orang awam, manakala tiga lagi dilaporkan hilang.

Dua mangsa terselamat, Alif Akmal Md Zamri,12, dan Adib Irfan Saad, 11, selepas diselamatkan pekerja pusat rekreasi Lubuk Semilang.

Difahamkan, secara tiba-tiba kepala air berlaku ketika empat keluarga terbabit sedang menjalankan aktiviti riadah di pusat rekreasi itu, mengakibatkan mangsa dihanyutkan arus deras.

Sehingga jam 1 petang tadi, gerakan mencari mangsa terakhir Lubuk Semilang, Siti Aishah sedang masih diteruskan JBPM, APM, polis dan penduduk tempatan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.