SUNGAI PETANI  - Pembinaan Kompleks Litar Sukan Bermotor negeri di Bandar Amanjaya dekat sini, yang dijadual bermula pertengahan September ini jelas menunjukkan kesungguhan kerajaan negeri dalam menepati janji.

Pengerusi Majlis Belia Daerah Kuala Muda, Sharil Hassan berkata, beliau sendiri berasa teruja dengan pembinaan litar itu, memandangkan ia akan dibina di Kuala Muda.

"Terima kasih kepada Perdana Menteri dan Menteri Besar Kedah, pembinaan litar ini membuktikan bahawa kerajaan pusat dan negeri bersungguh untuk menepati janji dan tidak sekadar beretorik.

"Saya juga melihat bahawa litar sukan bermotor ini akan membawa impak positif khususnya dari segi pelancongan dan sosial, selain dapat mewujudkan peluang pekerjaan khususnya untuk golongan muda," katanya kepada Bernama, hari ini.

Beliau berkata, dari aspek pelancongan, ia dilihat berupaya menarik kehadiran pelancong tempatan dan asing menerusi penganjuran sukan bermotor, sama seperti Alor Setar dan Langkawi, masing-masing terkenal dengan bola sepak dan perahu layar.

"Impak sosial juga boleh dirasai menerusi pengurangan masalah mat rempit di jalan raya memandangkan litar lumba ini akan memberi ruang kepada peminat motor untuk berlumba di kawasan yang sesuai.

"Selain mewujudkan peluang pekerjaan kepada belia setempat, pembinaan litar lumba ini juga akan merancakkan lagi perniagaan sukan permotoran," kata Sharil yang juga berharap agar litar tersebut akan digunakan sebaik mungkin dan tidak sekadar menjadi projek gajah putih.

"Cabaran besar ialah dari aspek pengisiannya selepas siap pembinaannya kelak berbanding proses membina, yang mana matlamat penubuhannya akan gagal dicapai jika tidak diuruskan sebaik mungkin," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) negeri Kedah Shamsul Bahar Abd Rani pula berpandangan bahawa pembinaan litar lumba permotoran itu menepati aspirasi belia di negeri ini yang sekian lama mendambakan satu kompleks litar lumba permotoran.

"GPMS Kedah mencadangkan agar golongan belia yang berminat dengan sukan permotoran ini diberi ilmu yang sewajarnya agar mereka benar-benar dapat memanfaatkan litar lumba tersebut.

"Anggota masyarakat dan ibu bapa juga perlu diberi maklumat yang tepat agar sukan permotoran ini juga menerima sokongan mereka kepada anak-anak mereka yang meminatinya," katanya.

Tambah beliau, kerajaan juga hendaklah memantau secara berkala tahap pengguna memanfaat sukan lumba ini serta menetapkan garis panduan yang perlu dipatuhi agar tidak berlaku perkara yang tidak diingini.

Dalam perkembangan sama, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO negeri Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, perkembangan positif pembinaan litar ini membuktikan kerajaan meletakkan kepentingan rakyat pada tahap tertinggi.

"Usaha yang dilakukan Menteri Besar Kedah dalam melunaskan akujanji terpenting anak muda ini menunjukkan sikap dedikasi dan kesungguhan beliau menyelesaikan kekusutan yang berlarutan sejak sekian lama,” katanya.

Beliau bagaimanapun berharap agar konsep litar rakyat yang menjadi asas pembinaannya, dijadikan teras dalam pengurusannya kelak bagi mengelakkan ia menjadi terlalu eksklusif.

"Mungkin kerajaan negeri boleh memberi ruang kepada semua persatuan permotoran amatur dan profesional di negeri ini untuk sama-sama menjadi pihak berkepentingan, kerana dibimbangi litar ini akan menjadi terlalu 'eksklusif' dan kita tidak mahu melihat ia berakhir sebagai projek gajah putih," katanya.- Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.