ALOR SETAR - Kerajaan negeri komited menangani masalah bekalan air meruncing di Kedah selaras dengan Manifesto 100 Hari Pakatan Harapan (PH) Exco Bekalan dan Sumber Air, Zamri Yusuf berkata, dalam tempoh 70 hari pentadbiran, pihaknya mendapati lebih 70 peratus masalah bekalan air di negeri ini berjaya diatasi.

Katanya, masalah bekalan air di Kedah belum selesai, bagaimanapun pihaknya komited untuk menangani isu gangguan dialami penduduk itu.

"Masalah air di Kedah belum selesai sepenuhnya, jikalau ikut KPI saya ia belum 100 peratus, jauh lagi dari 100 peratus kerana banyak lagi perkara perlu dilakukan.

“Namun, kemelut masalah bekalan air dialami akan selesai, bagaimanapun ia secara berfasa kerana aspek pengurusan dan pembekalan air bukanlah perkara mudah," katanya.

Menurut beliau, banyak juga kes sudah berjaya diselesaikan, malah senarai Fast Track yang perlu didahulukan juga hampir selesai.

Pihaknya menggunakan beberapa pendekatan untuk menangani masalah air itu, antaranya Program Fast Track Penambahbaikan Bekalan Air Kedah dan Program Short Term.

Beliau berkata, pihaknya memberi komitmen tinggi untuk memastikan semua tempat mengalami gangguan teruk sebelum ini menerima bekalan air.

"Di bawah Program Fast Track, saya telah menyenaraikan 12 perkara berbanding hanya 10 perkara perlu diberi keutamaan dan diselesaikan dahulu dalam 100 hari ini.

"10 pam booster telah dipasang di kawasan tertentu mengalami masalah air serius, manakala dua lagi di Kampung Hujung Bandar, Sik dan Flat Setia Jaya, Alor Setar.

"Pemasangan pam itu membolehkan masalah bekalan air di kawasan kritikal, di Kampung Hujung Bandar, Sik dan Flat Setia Jaya berjaya diselesaikan," katanya.

Tambahnya, kerajaan memperuntukkan kos lebih RM1.2 juta untuk pemasangan pam booster di 10 lokasi melibatkan 3,500 akaun pengguna.

Menurutnya, pihaknya juga cuba menyelesaikan masalah tekanan air rendah dalam tempoh enam bulan hingga setahun di bawah Program Short Term dengan kerjasama Kementerian Bandar dan Wilayah (KKLW) dan Syarikat Air Darul Aman (Sada).

Sementara itu, Zamri berkata, penggunaan telaga tiub turut akan diperkenalkan di kawasan pedalaman dan kritikal demi mengatasi masalah bekalan air di Kedah.

Menurut beliau, inisiatif berkenaan dilihat mampu mengatasi masalah bekalan air dengan lebih cepat, mudah, berkualiti dan menjimatkan.

Katanya, pihaknya akan memberi tumpuan kepada daerah tertentu yang sering mengalami masalah kekurangan bekalan air, misalnya Sik dan Baling.

"Melalui kajian, kita mendapati 25 lokasi berdepan masalah bekalan air tidak mencukupi di negeri ini, terutama melibatkan zon tanah tinggi dan kawasan terpencil.

"Kita akan melihat faktor dan jika tidak menepati syarat, kawasan itu akan terus menggunakan kaedah paip biasa kerana tidak semua kawasan kritikal akan menggunakan telaga tiub," katanya.