ALOR GAJAH - Empat termasuk dua pelajar Universiti Tun Abdul Razak (Unitar) parah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan bertembung di Kilometer 213.5 Lebuhraya Utara - Selatan, arah utara, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 1.35 petang itu, van dipandu Khadijah Mohamad, 44, bersama suami, Amjad Javed Ghulam Hussain, 38, hilang kawalan sebelum bertembung dengan kereta jenis Proton Iswara Aeroback dipandu Beatrice Lim Hui Lih, 23, dan rakannya, Yip Lilian, 24.

Van dinaiki pasangan suami isteri itu hilang kawalan dan memasuki kawasan tebing berumput di kiri jalan, namun secara tiba-tiba bergerak menghala ke kanan sebelum masuk ke lorong tengah.

Menurut sumber, kenderaan dinaiki pasangan suami isteri itu dikatakan terhoyong hayang sebelum terbabit kemalangan.

“Van terbabit sudah hilang kawalan beberapa meter dari tempat kejadian. Ketika van berkenaan meluncur masuk ke tengah lebuh raya, muncul kereta dinaiki dua pelajar kolej lalu bertembung," katanya.

Menurutnya, kereta berkenaan kemudian melantun dan terseret ke lorong kecemasan dalam keadaan remuk dan melintang.

“Van itu kemudian berpusing beberapa kali dan terbalik sebelum tersadai di lorong tengah," katanya.

Menurutnya, akibat pertembungan kuat itu, pemandu van berkenaan tersepit di tempat duduk pemandu, manakala suami mangsa berjaya dikeluarkan orang awam.

“Dalam keadaan lalulintas mula perlahan, pemandu kereta dilihat keluar terhenjut-henjut dari kenderaan, bagaimanapun rakannya tersepit di tempat duduk penumpang hadapan sebelum dibantu keluar oleh orang ramai," katanya di sini semalam.

Menurut sumber, dua pelajar terbabit yang berada dalam keadaan sedar cuba menahan sakit, sementara  pemandu van terbabit yang masih tersepit dalam keadaan tergamam dibantu keluar oleh anggota bomba dan penyelamat.

Katanya, mangsa yang parah meraung kesakitan namun terpaksa menunggu ambulans yang tiba di tempat kejadian kira-kira 45 minit selepas itu.

Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, Mohd Asraf Abdullah berkata, seramai 14 anggota membabitkan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh dan Alor Gajah serta dua Unit Gerak Pantas Bermotosikal bergegas ke tempat kejadian.

Menurutnya, bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan mangsa dan terpaksa menanggalkan pintu van dengan menggunakan peralatan khas.

“Mangsa berjaya dikeluarkan dengan selamat sebelum diberikan rawatan awal di tempat kejadian," katanya.

Dalam pada itu, mangsa, Beatrice Lim ketika ditemui berkata, mereka dalam perjalanan pulang ke kolej di Kampar, Perak, selepas menghabiskan cuti hari pekerja di rumah keluarganya di Batu Pahat.

“Saya terkejut apabila van berkenaan dari tebing berumput dengan tiba-tiba pusing dan menghala ke arah kereta saya tanpa saya sempat tekan brek menyebabkan kenderaan kami bertembung secara berdepan,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • LAHAD DATU - Seorang warga emas maut dan empat lagi termasuk seorang kanak-kanak lelaki cedera parah selepas kereta jenis Perodua Axia yang dinaiki bertembung kereta lain di Kilometer 45 Jalan Lahad Datu-Tungku dekat sini, petang semalam.
  • KLANG - Seorang warga emas maut dilanggar sebuah lori yang mengundur ketika melakukan kerja pembersihan di tempat letak kenderaan Surau Al-Hidayah, Pelabuhan Utara, di sini, hari ini.
  • KUALA LIPIS - Dua maut, dua parah dan dua lagi cedera apabila terlibat dalam kemalangan jalan raya membabitkan empat buah motosikal di kilometer 4 Jalan Sungai Koyan - Kuala Medang di sini, kira-kira jam 10.30 malam tadi.
  • SEREMBAN - Seorang lelaki terselamat walaupun kenderaan yang dipandunya terbabit kemalangan dengan sebuah bas pekerja di Jalan Labu Nilai, di sini, semalam.
  • SEREMBAN - Sepuluh mangsa cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah bas pekerja dan kereta di Jalan Labu-Nilai berhampiran pekan Labu dekat sini, pagi tadi.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.