GEORGETOWN – Kerajaan negeri Pulau Pinang akan mempertimbangkan untuk memberi diskaun untuk projek-projek perumahan di bawahnya susulan pengumuman Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Pulau Pinang yang memberikan diskaun pembelian rumah sebanyak enam dan 10 peratus kepada pembeli.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata beliau akan membawa perkara berkenaan (pemberian diskaun) kepada Exco untuk dipertimbangkan.

"Sekiranya Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) tidak dikenakan kepada bahan pembinaan  seperti simen, besi dan sebagainya seperti diumumkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng sebelum ini apabila Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dihapuskan dan diganti SST, kalau itu boleh berlaku memang harga perumahan mesti dikurangkan.

Beliau berkata demikian kepada  pemberita selepas melakukan lawatan di tapak pembinaan perumahan di Jalan S.P Chelliah dekat sini hari ini.

Jagdeep memuji langkah Rehda dan menyifatkannya sebagai khabar gembira kerana badan korporat itu akur untuk menurunkan harga selepas pelaksanaan SST.

Semalam, Pengerusi Rehda negeri, Datuk Toh Chin Leong mengumumkan Rehda akan memberikan diskaun pembelian rumah sebanyak 10 peratus bagi  rumah yang bernilai RM300,000 ke atas di negeri ini dan  diskaun  sebanyak enam peratus bagi rumah mampu milik berharga bawah RM300,000 dan ia terpakai kepada projek sedia ada atau projek baharu.

Penurunan harga rumah itu ialah berikutan pelaksanaan SST bermula 1 September lepas.

Sementara itu, Jagdeep mengumumkan bahawa sebuah syarikat pemaju Zubicon Sdn Bhd yang mengendalikan projek perumahan rumah mampu milik dan rumah kos sederhana rendah  di S.P Chelliah akan  menerima pengiktirafan "Green  Building Index Gold " bagi  bangunan perumahan mampu milik  dan Sijil Green Building Index bagi perumahan kos sederhana rendah.

Beliau berkata pengiktirafan itu adalah yang pertama di Malaysia.- Bernama