SUNGAI PETANI - Kerajaan Kedah akan menunaikan janji membina 40,000 unit rumah kos rendah dan mampu milik menerusi pelbagai projek perumahan di negeri ini sebelum PRU14.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga negeri, Datuk Badrol Hisham Hashim berkata, sasaran itu adalah akujanji BN Kedah kepada rakyat negeri ini.

“Saya sebagai exco perumahan sudah menjalankan tugas dengan baik bagi menunaikan apa yang dijanjikan kepada rakyat Kedah.

“Diharap rakyat Kedah terus memberi sokongan dan mengundi BN,” katanya pada sidang media selepas melancarkan dua unit rumah contoh bawah projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) dimajukan Syarikat Pemaju Perumahan Oriental Interest Berhad (OIB), di Taman Permaipura, Bedong.

Badrol Hisham berkata, sasaran yang ditetapkan selepas BN mengambil alih kerajaan negeri daripada Pas pada PRU lalu demi kepentingan rakyat dalam kategori berpendapatan rendah serta golongan muda memiliki hartanah sendiri

“Daripada sasaran 40,000, pembinaan sebanyak 20,000 unit rumah Program Perumahan 1Malaysia (PR1MA) juga mampu memenuhi permintaan rumah dalam kalangan rakyat negeri ini.

“Selain projek itu, sebanyak 7,000 unit rumah bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR), 8,000 adalah rumah bawah PPA1M dan bakinya termasuk rumah dibina swasta di negeri ini akan menyumbang ke arah usaha Kerajaan Kedah mencapai sasaran sebelum PRU14,” katanya.

Menurutnya, rumah kos rendah akan bina di setiap daerah dan bandar terutama di Alor Setar, Sungai Petani, Kulim dan Langkawi.