JITRA - Seorang warga emas sanggup mengerah kudratnya saban hari demi menjaga suami yang terlantar akibat strok sejak empat tahun lalu.

Minah Shafei, 78, berkata, adalah menjadi tugasnya setiap hari untuk menguruskan keperluan harian suaminya Md Desa Khamis, 80, di rumah mereka di Kampung Padang Panjang, Malau di sini.

Katanya,walaupun tangan kanannya patah akibat terjatuh di bilik air Mei lalu, namun itu tidak menghalang tugasnya untuk memandikan suaminya.

"Setiap hari mak lang akan angkat suami naik atas troli barang untuk mandikan dia di bilik air.

"Selepas mandi, pakaikan dia lampin pakai buang sebelum suap dia makan pula..Tapi sekarang ini selera makan dia nampak semakin kurang," katanya,"ketika ditemui di rumah mereka.

Menurutnya, mereka suami isteri tidak mempunyai sumber pendapatan tetap selepas suaminya terlantar akibat diserang strok.

"Kami hidup ini hanya harapkan bantuan dari JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) sebanyak RM350 sebulan sahaja.

"Duit itu hanya cukup untuk membeli barang dapur kami saja, kalau untuk lampin pakai buang dan ubat-ubat kena cari lain pula.

"Anak-anak semua dah ada keluarga masing-masing, ada yang jadi suri rumah sahaja, ada yang kerja biasa saja.

"Depa pun ada mai juga sekali sekala bantu saya uruskan bapa mereka selepas habis bekerja," katanya.

Tambahnya, beliau sangat berharap ada pihak yang tampil membantunya dan suami meringankan beban mereka yang dalam kehidupan yang serba kekurangan ini.

Kepada mana-mana pihak yang ingat menziarahi pasangan warga emas ini, boleh  menghubungi mak lang di talian 017-5731614.